Steven Sim bangkitkan isu ketegangan kaum dalam mesyuarat Kabinet esok

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 4:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hantaran foto dimuat naik Steven di Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong memaklumkan bakal membangkitkan isu ketegangan kaum yang heboh sejak kebelakangan ini dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Steven berkata, sudah tiba masanya semua bentuk keganasan, provokasi agama dan kaum dihentikan sepenuhnya.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku tanpa mengira latar belakang.

"Mereka harus dikenakan tindakan undang-undang paling keras sekali, tak kira yang pijak al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang cetus provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme mahupun yang bakar kenderaan.

"Rakyat Malaysia mesti bersatu dalam isu ini, katakan tidak kepada ejen provokasi dan ekstremisme!" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau berpandangan, musuh bukan dalam kalangan sesama sendiri, tidak kira kaum atau agama.

"Ketika dunia sedang bergolak, rakyat di negara ini perlu bersatu untuk memperhebatkan perniagaan Malaysia dan bangunkan ekonomi demi kesejahteraan semua.

"Semua pihak bertanggungjawab untuk menurunkan suhu perkauman dalam masyarakat majmuk kita. Berhenti sebar dan kongsi kebencian. Berhenti tambah api perpecahan," ujarnya.

Dalam kes terbaharu, tiga kereta milik individu bernama Cikgu Chandra dibakar, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.

Menurut perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Threads, kejadian itu berlaku sekitar jam 3 pagi Selasa.

Kata Firdaus, tiga kereta dengan beberapa lelaki memakai topeng penuh dan bersenjatakan parang cuba membunuh Cikgu Chandra pada petang hari sebelumnya.

Firdaus memaklumkan, rumah Cikgu Chandra di Puchong didakwa diserang sekumpulan lelaki yang bertindak memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.

Serangan itu difahamkan berlaku hanya beberapa hari selepas pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.

Firdaus turut menegaskan supaya individu yang melakukan jenayah tersebut dikenakan tindakan segera.