Isu kewarganegaraan dalam tindakan KDN

Politics
15 Dec 2022 • 8:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saifuddin menghadiri taklimat daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan pada Khamis.

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti penyelesaian isu kewarganegaraan yang berbangkit di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan kini dibawah perhatian beliau mengambil kira keresahan yang disuarakan ramai pihak.

"Melalui komen rakan-rakan di media sosial yang sempat saya tekuni adalah terkait ruang lingkupnya berkisar tentang isu kewarganegaraan. Ini sudah dibawah perhatian saya.

"Saya dan pasukan akan sedaya mungkin mencari jalan keluar daripada hal-hal yang menyumbang kepada keresahan pihak yang terlibat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau sebelum itu menghadiri taklimat daripada Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan.

Sebelum ini, wujud gesaan kepada kerajaan agar meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Perkara itu juga merupakan antara inti pati manifesto yang di ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.