
KUALA LUMPUR, 5 NOV: Isu kualiti sampel petrol RON95, mitigasi tapak pelupusan sisa pepejal dan penguatkuasaan terhadap warga asing memandu tanpa lesen sah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan keputusan analisis sampel RON95 di lima negeri dan depoh.
Selain itu, beliau bertanyakan mengenai tindakan segera kerajaan dalam memulihkan keyakinan pengguna serta penyediaan pampasan bagi kenderaan terjejas, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) ingin tahu strategi jangka panjang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terhadap tapak pelupusan terbuka kritikal pihak berkuasa tempatan (PBT) luar bandar dan pelan mitigasi bagi daerah tanpa loji 'Waste-to-Energy' (WTE) untuk membendung lambakan sisa harian.
Bagi sesi soal jawab, Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) pula meminta Menteri Pengangkutan memperincikan mekanisme penguatkuasaan terhadap warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pendatang tanpa izin yang memandu kenderaan motor tanpa lesen sah.
Turut menarik perhatian ialah soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kemajuan sistem radar pengesanan awal (early detection), dron (UAV) dan satelit, peratusan liputan pengawasan 24 jam serta jurang keupayaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang masih kritikal ketika ini.
Selain itu, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) ingin tahu langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam mencegah dan menangani episod jerebu memandangkan fenomena El Nino dijangka berlarutan hingga pertengahan 2027.
Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan kementerian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa.
Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan dan sesi penggulungan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa berlangsung hingga 26 Nov ini.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.





