Caj RM10,000, guna laluan Phuket-Kelantan seludup PATI

5 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Caj RM10,000, guna laluan Phuket-Kelantan seludup PATI

KOTA BHARU: Laluan Phuket-Kelantan dikesan menjadi antara modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membawa masuk warga asing ke negara ini secara haram dengan mengenakan caj sehingga RM10,000.

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan penerbangan dari Singapura ke Phuket, Thailand sebelum membawa migran melalui jalan darat dan seterusnya memasuki Malaysia menerusi laluan laut di perairan Kelantan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah berkata, kegiatan itu dikenal pasti hasil siasatan terhadap beberapa kes tangkapan PATI yang dilakukan di perairan negeri ini.

Katanya, sindiket mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM10,000 bagi setiap migran bergantung kepada lokasi dan kewarganegaraan mereka.

“Modus operandi yang dikesan menunjukkan migran masuk melalui jalan darat di Thailand sebelum dibawa ke negara ini menggunakan laluan laut di Kelantan.

“Walaupun jumlah tangkapan tidak terlalu besar, peningkatan kes menunjukkan kegiatan ini perlu diberi perhatian serius,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di sini hari ini.

Mohd. Zawawi memberitahu, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, sebanyak 45 kes membabitkan tangkapan 334 PATI daripada pelbagai kewarganegaraan direkodkan di perairan Kelantan.

Katanya, daripada jumlah itu warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 166 orang, diikuti Vietnam (61), Thailand (42), Kemboja (18), Indonesia (13), India (11), Bangladesh (empat), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi berkata, laluan yang digunakan untuk membawa masuk migran secara haram itu turut berpotensi dieksploitasi bagi kegiatan penyeludupan rokok, dadah dan barangan larangan.

Katanya, modus operandi penyeludupan barangan kontraban itu hampir sama apabila sindiket menggunakan laluan yang sama untuk membawa masuk pelbagai barangan yang menyalahi undang-undang.

“Sepanjang 2023 hingga Oktober 2026, nilai keseluruhan rampasan barangan seludup di Kelantan berjumlah RM19.56 juta.

“Daripada jumlah itu, tiga kes penyeludupan rokok putih direkodkan tahun ini dengan anggaran nilai rampasan RM881,000,” katanya.-UTUSAN

The post Caj RM10,000, guna laluan Phuket-Kelantan seludup PATI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved