Isu Minyak Masak Paket : Perlu Utamakan Rakyat Tempatan – FOMCA

11 Jan 2024 • 12:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada Selasa (9 Januari) yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa tiada halangan buat warga asing untuk membeli minyak masak paket bersubsidi di kedai runcit dan had pembelian adalah sama seperti rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah wujud larangan yang dikenakan terhadap warga asing yang membeli minyak masak bersubsidi susulan penularan beberapa video yang memaparkan perbuatan mereka di media sosial.

Namun, Armizan menjelaskan pihaknya sedia menerima cadangan agar larangan tersebut dikenakan.

Kenyataan beliau itu nyata mengundang reaksi daripada pelbagai pihak khususnya rakyat Malaysia.

Utamakan Rakyat Tempatan Terutamanya Golongan B40 & M40

Terbaharu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata rakyat Malaysia khususnya golongan B40 dan M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup perlu diberi keutamaan dalam pembelian minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya, walaupun kerajaan tidak menghalang warga asing untuk membeli barang bersubsidi itu, ia perlu dikawal bagi memastikan bekalan mencukupi untuk rakyat negara ini.

“Keadaan pasaran terbuka di negara ini menyebabkan semua pihak boleh membeli minyak masak peket tanpa perlu menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen menyebabkan tiada sekatan ke atas individu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Kerajaan Perlu Fikirkan Kaedah Terbaik

Tambah Asyikin, walaupun warga asing turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup namun kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik bagi mengatasi isu tersebut.

Jelasnya lagi, isu pembelian melebihi had bukan sahaja melibatkan warga asing, namun terdapat segelintir rakyat tempatan yang mengambil kesempatan untuk ‘membolot’ barang tersebut.

“Isu pembelian ini kadangkala bukan hanya dimanipulasi oleh rakyat kita sahaja, bahkan warga asing juga. Jadi tidak adil kita hanya menyalahkan satu pihak.

“Saya faham warga asing turut terkesan dengan tekanan kos sara hidup di negara ini tetapi kita perlu tegas supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk membeli melebihi kuota,” katanya lagi.

Source: