Isu OTA: MOT adakan libat urus dengan pengusaha bas ekspres – Loke

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 6:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Isu OTA: MOT adakan libat urus dengan pengusaha bas ekspres – Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata MOT akan mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha bas ekspres bagi menjelaskan dasar penjualan tiket menerusi terminal berlesen.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha bas ekspres bagi menjelaskan dasar yang mewajibkan penjualan tiket disalurkan melalui terminal berlesen, susulan kebimbangan terhadap kesannya kepada perniagaan mereka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu bertujuan mengawal selia ejen penjualan tiket dalam talian (OTA), yang kebanyakannya berpangkalan di luar negara, serta memastikan penjualan tiket melalui terminal yang dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Mereka belum memahami itu. Jadi akan ada sesi libat urus untuk menerangkan kepada mereka. Tidak ada kerugian kepada syarikat-syarikat bas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.

Beliau mengulas kebimbangan pengusaha bas bahawa dasar berkenaan boleh menjejaskan pelaburan mereka dalam pembangunan laman web sendiri bagi penjualan tiket.

Loke berkata OTA memperoleh komisen daripada penjualan tiket tanpa menyediakan perkhidmatan pengurusan terminal, sekali gus menimbulkan masalah kawal selia apabila berlaku gangguan perkhidmatan atau tuntutan bayaran balik.

“Mereka menjual tiket ini dan mereka mendapat komisen, tetapi mereka tidak memberikan apa-apa perkhidmatan termasuk mereka tidak menguruskan apa-apa perkhidmatan di terminal,” katanya.

Beliau berkata dasar itu bertujuan memastikan penjualan tiket dan pengurusan terminal dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui terminal berlesen APAD.

Loke berkata aturan komersial melibatkan urusan perniagaan antara pengendali terminal dengan syarikat bas akan dibincangkan secara langsung oleh kedua-dua pihak, manakala kementerian menetapkan dasar.

Berlangsung dari 20 hingga 22 Okt, TXA 2026 menghimpunkan pemain industri dan penyedia teknologi dalam sektor pengangkutan darat, penerbangan, maritim serta logistik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved