Penjualan semula tiket AirBorneo oleh pihak ketiga sehingga harga melambung disiasat - MOT

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penjualan semula tiket AirBorneo oleh pihak ketiga sehingga harga melambung disiasat - MOT Image from: Penjualan semula tiket AirBorneo oleh pihak ketiga sehingga harga melambung disiasat - MOT sarah12/10/2026 - 16:19 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang berbincang dengan AirBorneo berhubung kegiatan penjualan semula tiket penerbangan tanpa kebenaran melalui platform pihak ketiga yang boleh menyebabkan pengguna dikenakan tambang tinggi dan caj tersembunyi.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara itu dalam pengetahuan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi menangani isu berkenaan.

 

“Perkara ini adalah dalam pengetahuan CAAM dan sedang dibincangkan antara kementerian dengan syarikat penerbangan.

 

“Kita tak mahu ada third party. Kita pernah merasai sebelum ini, ada sebuah syarikat penerbangan juga, third party juga yang menjual tiket dan kadang-kadang merugikan pengguna sendiri,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

 

Tambah Hasbi, perkara itu sedang dalam perbincangan dan sekiranya perlu tindakan sewajarnya akan diambil.

 

Sementara itu, AirBorneo memulakan perkhidmatan penerbangan komersial berjadual bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026, dengan kekerapan 14 penerbangan seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-800 berkapasiti 162 tempat duduk.

 

Tambang kelas ekonomi ditetapkan pada RM375 sehala termasuk hidangan dan elaun bagasi, manakala tambang kelas perniagaan bermula RM800 sehala, tertakluk kepada permintaan dan ketersediaan tempat duduk menerusi mekanisme penetapan harga dinamik.

 

AirBorneo bakal perkenalkan laluan baharu

Menurut kementerian, AirBorneo merancang menambah dan memperkenalkan laluan baharu secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan pasaran serta ketersediaan pesawat.

 

Operasi penerbangan komersial itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman AirBorneo tanpa suntikan subsidi kerajaan.

 

Bagi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) pula, Kerajaan Persekutuan memeterai Perjanjian Interim RAS bersama AirBorneo pada 18 Disember 2025, yang akan tamat pada 31 Disember 2026.

 

Perjanjian baharu RAS sedang dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani pada penghujung tahun ini bagi memastikan perkhidmatan udara terus menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Kerajaan turut menyediakan subsidi tahunan sebanyak RM209 juta kepada AirBorneo bagi menampung keseluruhan kos operasi perkhidmatan RAS.

 

Dari segi tambang, kadar bagi 39 laluan RAS tertakluk kepada mekanisme harga siling berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 20 Julai 2011.

 

Harga siling tambang asas ditetapkan antara RM30 hingga RM243, bergantung pada laluan, tidak termasuk cukai, fi lapangan terbang dan surcaj bahan api.

 

Caj tambahan yang ditetapkan termasuk surcaj RM50 bagi pesawat ATR, RM20 bagi pesawat Twin Otter serta Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) RM11 bagi lapangan terbang bukan 'STOLport'.

 

Sebagai operator RAS di bawah kerangka Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO), AirBorneo tertakluk kepada ketetapan yang melarang tambang dinaikkan melebihi harga siling ditetapkan.

 

Kementerian berkata, CAAM yang bertindak sebagai penasihat, pentadbir dan pengurus RAS akan terus memantau pematuhan operasi, selain menilai semula struktur harga siling dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan udara di kawasan luar bandar kekal mudah diakses pada kadar munasabah dan mampu milik. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved