Mat Sabu galak pegawai KPKM tanam sayur di rumah

LocalFood
13 Mar 2026 • 2:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Menara Komunikasi, pada Jumaat. Turut kelihatan, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (kiri) dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan). Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengarahkan pegawainya yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat.

Berucap di sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Kabinet di sini, beliau berkata, program itu akan dimulakan dengan tanaman seperti cili, terung, kucai dan sebagainya.

"Kita akan mulakan program itu seperti Kempen Buku Hijau di zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak kerana kita tidak tahu krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran tamat," katanya pada Jumaat.

Kempen Buku Hijau merupakan program nasional yang diperkenalkan Abdul Razak pada tahun 1974 ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kempen itu dilancarkan bagi menggalakkan rakyat menanam makanan sendiri seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan menternak ayam atau ikan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan selain masalah inflasi dan kekurangan makanan yang berlaku pada awal 1970-an.

Dalam pada itu, Mohamad berharap agar konflik itu dapat diselesaikan segara agar tidak menjejaskan bekalan makanan negara.

“Buat masa ini, sambutlah Hari Raya dengan biasa, Insya-ALLAH makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” katanya.