Isu pegawai berkuasa: Pejabat MB Selangor nafi dakwaan jahat, fitnah dan tidak berasas

LocalPolitics
16 Nov 2025 • 3:23 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Dakwaan yang dibuat melalui satu kumpulan WhatsApp yang mendakwa seorang pegawai kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘berkuasa dengan kekayaan yang tidak dapat diperjelaskan’ adalah berniat jahat dan bermotifkan politik.

Pejabat Menteri Besar Selangorr dalam kenyataannya berkata, berikutan itu laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah tersebut akan dibuat oleh pegawai terbabit.

Jelasnya, dakwaan liar berkenaan jelas berunsur fitnah, menyeleweng, tidak berfakta dan tidak mempunyai sebarang asas.

“Merujuk kepada beberapa laporan berita yang memetik sumber Whatsapp liar yang tidak dikenali yang merujuk kepada seorang pegawai di Pejabat Datuk Menteri Besar, ditegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah jelas berniat jahat dan bermotifkan politik.

“Dakwaan liar yang dibuat melalui satu kumpulan WhatsApp baharu sewaktu Menteri Besar sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri adalah jelas berunsurkan fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta ataupun sebarang asas,’’ katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar Selangor meminta semua pihak memfokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu.

Terdahulu, tular dakwaan dalam satu kumpulan WhatsApp ‘MB Selangor’ yang dikendalikan oleh seorang pentadbir dikenali sebagai ‘Madani’, yang meminta Amirudin menjawab persoalan mengenai kekayaan didakwa membabitkan seorang pegawainya.

Dakwaan itu menyebut individu terbabit juga dipercayai memegang terlalu terlalu banyak jawatan di bawah kerajaan negeri.

Selain Amirudin, kumpulan sembang itu turut disertai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada kerajaan dan pembangkang, beberapa pemimpin parti politik serta sekurang-kurangnya dua wartawan.

Malah nombor telefon milik Amirudin dalam kumpulan sembang itu juga telah disahkan.

Dalam kumpulan itu, ‘Madani’ menyampaikan mesejnya secara langsung kepada Amirudin dengan menggesanya supaya menjawab dengan jujur dan adil.

'Madani’ turut mendakwa pegawai tersebut kini ‘menjadi jutawan’ sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki sebuah rumah banglo bernilai mencecah RM3 juta dan mampu membawa keluarganya bercuti ke luar negara. - 16 November, 2025

The post Isu pegawai berkuasa: Pejabat MB Selangor nafi dakwaan jahat, fitnah dan tidak berasas appeared first on Scoop.