
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai kisah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang mendakwa tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Perkara itu mendapat perhatian ramai apatah lagi dia memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan STPM.
Pun begitu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman, menjelaskan kedudukan ranking permohonannya dalam program tersebut berada di tangga ke-1,127 daripada 2,291 calon yang layak, sedangkan UM hanya menawarkan 85 tempat sahaja.
Malah, Azlinda dalam sidang media pada 9 September turut mendedahkan merit keseluruhan pelajar berkenaan iaitu 99.90% serta kedudukan ranking permohonannya.
“Walaupun beliau memperoleh PNGK 4.00, kedudukannya masih jauh di belakang pemohon yang meraih merit penuh 100%. Kegagalannya mendapat tempat di UM adalah disebabkan kapasiti yang amat terhad,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Pelajar Cemerlang STPM Tak Dapat UM, KPT Tampil Beri Penjelasan
Selain UPU, UM Turut Membuat Pengambilan Bersyarat – Naib Canselor UM
Terbaharu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman tampil memberi penjelasan berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan sehingga kini.
Jelas beliau dalam satu video di YouTube Universiti Malaya, pengambilan pelajar baharu dibuat melalui proses saringan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) serta pengambilan terus secara bersyarat oleh pihaknya.
Tambah Noor Azuan, tawaran terus secara bersyarat hanya akan dikeluarkan selepas tamatnya tempoh permohonan rayuan.
Sama seperti UPU, proses saringan itu turut dibuat berdasarkan sistem ranking dengan anggaran tempat yang disediakan adalah sebanyak 20 hingga 50 orang calon.
Calon Perlu Buat Permohonan Sendiri Bagi Kemasukan Secara Bersyarat
Pun begitu jelasnya, kemasukan bersyarat itu bukanlah secara automatik sebaliknya perlu dimohon oleh calon sendiri.
“UM ada (pengambilan) yang kita kenali sebagai saluran terbuka. Kita buat lebih kurang 30 hingga 50 orang yang diberi ‘conditional offer’, bermaksud mereka sudah memenuhi syarat.
“Ini satu amalan biasa dan surat tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tarikh rayuan. Jadi semasa tarikh rayuan itu dibuat, 30 hingga 50 orang itu akan diranking, dilihat siapa yang terbaik.
“Mereka dirankingkan mengikut seperti proses yang (buat) UPU. Jadi jelas kita akan ambil 30 hingga 50 orang dan akhirnya (keseluruhan) menjadi 150 atau 160 orang,” jelasnya.
Naib Canselor UM Sahkan Data Diberi KPT Adalah Tepat
Noor Azuan turut menjawab dakwaan pihak yang mendakwa jumlah tempat ditawarkan UPU bagi program perakaunan di UM tidak sama dengan jumlah graduan yang dihasilkan.
Jelas beliau, data yang dinyatakan oleh Azlinda bagi program tersebut adalah tepat.
Ini kerana terdapat tiga kategori calon iaitu lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi, calon diploma dan calon feeder daripada UM.
“Jadi kalau kita tengok, 85 itu datangnya daripada UPU iaitu calon daripada Matriks, STPM, Asasi, dan juga diploma. Itu yang jumlahnya yang menjadi 85. Tetapi ada lagi yang lain, iaitu 28 orang daripada feeder UM.
“Ini praktik yang biasa yang UPU berikan kepada UM untuk memilih dalam kalangan asasi-asasi yang sama meritnya juga,” katanya.
Sistem UPU Masih Relevan
Pada masa yang sama, Noor Azuan turut menjelaskan bahawa sistem UPU yang digunakan pada ketika ini masih relevan memandangkan ia mengambil kira semua aspek dan menggunakan dasar meritokrasi.
Sebelum ini, Azlinda menjelaskan keputusan UPUOnline dijana sepenuhnya oleh sistem yang berasaskan merit mengikut kos yang dipohon oleh calon.
Malah, setiap permohonan disaring mengikut merit tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat.
KPT Dedah Ranking Pelajar STPM Tular Dalam Permohonan UPU Mengikut Universiti
Azlinda turut berkongsi ranking pelajar berkenaan dalam setiap permohonan program perakuanan yang dibuat oleh pelajar tersebut.
UM – permohonan yang layak adalah 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.
UPM – permohonan yang layak adalah 4,154 orang dengan seramai 1,718 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,724 dan UPM menyediakan 100 tempat untuk diisi.
UUM – permohonan yang layak adalah 2,595 orang dengan seramai 1,282 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,288 dan UUM menyediakan 350 tempat untuk diisi.
UTM – permohonan yang layak adalah 2,292 orang dengan seramai 1,060 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,062 dan UTM menyediakan 55 tempat untuk diisi.
Baca Artikel Berkaitan:
Source:

