
KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka menjadi mangsa layanan tidak berperikemanusiaan atau berdepan ancaman terhadap keselamatan dan nyawa.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menerusi Kementerian Luar (Wisma Putra) akan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu, termasuk aspek keselamatan, sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Menurut beliau, proses tersebut melibatkan penelitian terhadap identiti dan kriteria 5,000 pelarian yang dimaksudkan.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang 5,000 pelarian Myanmar sekiranya mereka berisiko menerima layanan buruk atau nyawa mereka terancam.
“Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dalam perbincangan bersama kerajaan junta Myanmar sebelum sebarang pelaksanaan dibuat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet hari ini.
Jelas Fahmi, kerajaan Myanmar sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk menerima semula 5,000 pelarian terbabit.
Bagaimanapun katanya, Malaysia masih perlu meneliti syarat dan kriteria yang ditetapkan sebelum proses penghantaran pulang diteruskan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa kerajaan junta Myanmar bersedia menerima kumpulan pelarian berkenaan.
“Namun kita (kerajaan Malaysia) tetap berpegang kepada prinsip bahawa mereka tidak boleh dihantar pulang sekiranya keselamatan atau nyawa mereka berada dalam keadaan berisiko,” katanya.
Difahamkan, ketika ini kira-kira 190,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
Lebih 80 peratus pelarian berkenaan terdiri daripada etnik Rohingya serta kumpulan etnik lain dari Myanmar.
Isu kebanjiran pelarian Rohingya di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini terus menjadi perhatian masyarakat.
Antara kebimbangan yang sering dibangkitkan termasuk peningkatan penempatan mereka di beberapa kawasan, persaingan mendapatkan peluang pekerjaan berpendapatan rendah, serta kebimbangan berkaitan aspek keselamatan dan ketenteraman awam. - Getaran, 5 Ogos 2026





