Isu Penempatan & Pembinaan Struktur Tanpa Kelulusan, Ini Penjelasan ADUN Dusun Tua

LocalPolitics
9 Jun 2026 • 6:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Isu Penempatan & Pembinaan Struktur Tanpa Kelulusan, Ini Penjelasan ADUN Dusun Tua

Isu Penempatan & Pembinaan Struktur Tanpa Kelulusan, Ini Penjelasan ADUN Dusun Tua

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz memaklumkan bahawa isu penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di Sungai Tekali berpunca daripada tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan tersebut.

Beliau mengulas isu itu selepas tular semula satu video yang dikongsikan oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin mengenai pembinaan struktur di kawasan terbabit.

"Berikutan video yang tular berkaitan isu penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di Sungai Tekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad kerana membantu membawa isu ini kepada perhatian umum," katanya.

Image from: Isu Penempatan & Pembinaan Struktur Tanpa Kelulusan, Ini Penjelasan ADUN Dusun Tua
ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz. Kredit Gambar: Bernama

Menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya, Johan menjelaskan bahawa isu itu bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan olehnya dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.

"Untuk makluman, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.

"Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik," ujarnya.

Tambahnya lagi, keadaan ini bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu tersebut secara berkesan.

Baca juga:

Johan berkata memandangkan sebahagian tindakan dan maklumat berkaitan melibatkan operasi penguatkuasaan yang tidak boleh didedahkan secara terbuka, banyak perkara serta bukti tidak dapat dikongsikan kepada umum ketika ini.

Image from: Isu Penempatan & Pembinaan Struktur Tanpa Kelulusan, Ini Penjelasan ADUN Dusun Tua
Tangkapan layar video tular yang menyaksikan struktur binaan tanpa kelulusan di Sungai Tekali

"Namun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutannya isu ini.

"Sehubungan itu, perkara ini akan saya bangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah yang akan datang.

"Pada pandangan saya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka," katanya lagi.

Menurutnya, semua pihak yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah.