![Image from: Flat Haram Di Hulu Langat: Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Tanpa Kelulusan – ADUN Dusun Tua [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Isu-Flat-Dipercayai-Diduduki-Etnik-Rohingya-Adun-Dusun-Tua-Dedah-Pemilik-Tanah-Beri-Kebenaran-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (8 Jun), tular di media sosial rakaman video oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin mengenai sebuah kediaman empat tingkat ketika menjalani penggambaran di Hulu Langat, Selangor.
Menerusi video tular, Azad Jasmin yang dikenali sebagai Pak Azad berasa hairan dengan struktur binaan bangunan tersebut.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian warganet hingga ramai mendakwa flat tersebut merupakan kediaman buatan sendiri yang dihuni komuniti Rohingya justeru mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
View on Threads
Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Kediaman Tanpa Kelulusan & Penempatan Di Lokasi Tersebut
Terbaharu, isu flat haram tular yang dikaitkan dengan pelarian UNHCR di Sungai Tekali, Hulu Langat itu berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan pembinaan struktur tanpa kelulusan sehingga warga asing membina rumah dan tinggal di kawasan terbabit.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz, isu tersebut pernah dibangkitkan oleh beliau sejak tahun lalu dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat untuk perhatian dan tindakan agensi berkaitan.
“Pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi sudah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.
“Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.
“Itu bukan saja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan,” katanya.
Ada Maklumat & Tindakan Telah Diambil Namun Tidak Boleh Didedahkan Kepada Umum
Tambah Johan, ada sebahagian maklumat dan tindakan telah diambil namun tidak didedahkan kepada umum dek kerana operasi penguatkuasaan yang sedang berjalan.
“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutan isu ini.
“Atas sebab itu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” ujarnya.
ADUN Akan Bangkitkan Semula Isu Sama Dalam Mesyuarat Akan Datang
Terang Johan lagi, beliau akan membangkitkan semula isu berkenaan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang agar tindakan menyeluruh dapat diambil kepada semua pihak yang terlibat.
“Saya berpandangan semua pihak yang terbabit perlu diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.
Memetik Harian Metro, Johan turut berkongsi maklumat bahawa dipercayai sebanyak 400 individu pelarian UNHCR membuat serta membina perkampungan di lokasi yang sama.
Malah, Johan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pak Azad kerana menyuarakan isu terbabit hingga menjadi perhatian ramai.
Polis Pernah Serbu Flat Haram Tahun Lalu – OCPD Kajang
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mendedahkan flat haram berkenaan telahpun diserbu pada Februari tahun lalu.
Jelas Naazron, seramai 45 warga asing yang terdiri daripada 35 orang lelaki dan bakinya adalah wanita dan kanak-kanak ditahan dalam serbuan secara bersepadu.
“Kesemua tangkapan disiasat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama,” jelasnya.
Malah, seorang lelaki tempatan yang mengaku anak kepada pemilik rumah telah dikenakan tindakan.
“Satu Borang IMM 29 (Saman Kepada Saksi) dan satu Borang Geledah Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 dikeluarkan kepada lelaki berkenaan di lokasi,” katanya.
Tambah Naazron, kediaman itu kini didakwa didiami oleh dua keluarga iaitu pemilik premis dan penyewa warga tempatan.
Baca Artikel Berkaitan: Ketibaan Ratusan Pelarian Rohingya Tidak Diterima Penduduk Aceh
Baca Artikel Berkaitan: Tidak Makan 5 hari, 59 Warga Rohingya Terkandas Di Thailand Semasa Menuju Ke Malaysia






