Isu Program Motivasi eHati: Polis Selangor Buka 3 Kertas Siasatan

LocalPolitics
15 Jul 2025 • 10:49 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai program motivasi rumah tangga eHati yang didakwa membawa ajaran menyimpang serta unsur lucah kepada pesertanya.

Perkara itu kemudiannya menarik perhatian ramai termasuklah pihak berkuasa seperti polis dan Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im yang meminta agar isu terbabit disiasat lebih lanjut.

Malah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad turut menyifatkan aktiviti yang dibuat dalam program berkenaan sebagai keterlaluan, memalukan serta mencemarkan imej baik agama Islam.

JAIS juga memberitahu program berkenaan jelas melanggar hukum syarak dan pelanggaran undang-undang syariah serta boleh diambil tindakan di bawah akta tertentu. Menurut JAIS pada 2022 pihaknya pernah memanggil penganjur program berkenaan ekoran aduan dibuat oleh bekas peserta dan pihaknya telah meminta mengubah beberapa modul agar menepati syarak.

Polis Selangor buka 3 kertas siasatan

Terbaharu Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Kham memaklumkan isu itu kini telah ditumpukan kepada tiga jenis kesalahan.

Jelasnya siasatan berhubung program terbabit telah dimulakan dengan pembukaan kertas inkuri polis (KEP).

“Hasil siasatan lanjut, kes tersebut kini telah diklasifikasikan di bawah kertas siasatan Seksyen 294 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil.

“(Ini bagi membolehkan) siasatan secara teliti bagi mengenalpasti kewujudan sebarang elemen lucah atau ajaran yang menyimpang daripada norma masyarakat seperti yang didakwa,” ujarnya, lapor Kosmo.

Dalam masa sama, pihak polis juga memanggil kesemua peserta yang terbabit dalam program berkenaan bagi merakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah untuk membantu siasatan.

Menteri Agama seru lebih ramai saksi tampil untuk bantu siasatan

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan program terbabit untuk tampil membantu siasatan.

Jelas Mohd Na’im keterangan saksi adalah penting dalam membantu pihak penguatkuasa JAIS untuk menyiasat penganjuran program berkenaan.

“Amat penting untuk pihak yang menjadi saksi tampil bagi membantu kami melakukan siasatan yang profesional dan (memastikan) tiada mana-mana pihak dizalimi,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Mohd Na’im turut mengesahkan dua individu juga bakal dipanggil untuk memberi keterangan di Bahagian Penguatkuasaaan JAIS pada hari ini (15 Julai). Manakala seramai dua lagi wanita yang juga membuat aduan sebelum ini seperti keberatan untuk hadir memberikan maklumat.

Menurut beliau Jais menyiasat isu berkenaan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan ajaran atau doktrin palsu.

“Bahagian Penguatkuasaan JAIS juga mengadakan kerjasama dengan polis.. (yang) akan tengok daripada sudut Kanun Keseksaan ataupun kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sivil.”

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan sampel air yang didakwa menghayalkan yang dikenali sebagai air ‘Piya’ masih dalam siasatan, dipetik Kosmo.

“Kita belum hantar (sampel ) ke makmal forensik lagi. Justeru belum dapat disahkan (kandungannya mengandungi bahan-bahan terlarang sehingga mengkhayalkan),” katanya.

Source: