Isu rakyat tak disentuh, Azam Baki tak dilawan: Wan Saiful kritik Bersatu hilang fokus

LocalPolitics
15 Feb 2026 • 12:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meluahkan kekecewaan terhadap apa yang berlaku dalam Bersatu kerana isu Facebook yang menjadi tumpuan sedangkan perkara lain melibatkan isu rakyat tidak disentuh.

Menurutnya, beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Bersatu, tetapi perkara seumpama itu tidak pernah menjadi isu semasa beliau bertanggungjawab.

Malangnya, kata beliau, inilah kualiti pegawai atasan pilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dan kualiti Bersatu hari ini.

Jika akaun Facebook pun tidak boleh diuruskan, katanya, lebih baik tutup sahaja parti berkenaan.

“Saya sedih melihat apa yang berlaku dalam Bersatu. Isu rakyat tak disentuh. Isu Azam Baki tak dilawan. Isu Anwar Ibrahim tak disentuh. Isu jual negara tak dijuarai.

"Tapi akaun Facebook pula jadi tumpuan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful dipecat dari Bersatu pada Oktober 2025, atas dakwaan melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Terdahulu, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, empat individu disyaki terlibat dalam tindakan sabotaj terhadap akaun Facebook rasmi Bersatu.

Menurutnya, mereka disyaki mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan mempunyai hubungan dengan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

"Keempat-empat mereka memiliki akses kepada Content, Messages and Calls, Community Activity, Ads, Insights, Permissions, page deletion, menurut sumber Page Management History Facebook.

"Hantaran berunsur sabotaj bermula pada 14 Februari 2026 jam 8.54 pagi dan berakhir pada jam 11.44 malam pada tarikh sama.

"Dalam hampir 15 jam itu, sebanyak 21 hantaran telah dibuat oleh salah seorang administrator,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Krisis dalaman Bersatu semakin memuncak apabila Timbalan Presidennya yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu.

Selain beliau, 16 individu lain termasuk tiga Ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan beberapa ketua bahagian Bersatu turut dipecat.

Sementara Hamzah pada Sabtu memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Lembaga Disiplin berhubung pemecatannya sebagai ahli parti.

Hamzah berkata beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menerima sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), iaitu seramai 19 orang daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu. - 15 Februari, 2026

The post Isu rakyat tak disentuh, Azam Baki tak dilawan: Wan Saiful kritik Bersatu hilang fokus appeared first on Scoop.