Isu rasuah dalam perolehan ATM tidak cukup sekadar reformasi tanpa heret pelaku ke muka pengadilan

LocalPolitics
13 Jan 2026 • 9:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isu rasuah dalam perolehan ATM tidak cukup sekadar reformasi tanpa heret pelaku ke muka pengadilan image is not available zakisalleh13/01/2026 - 09:58 Projek kapal NGPV yang terbengkalai terpaksa diselamatkan oleh kerajaan walaupun kos berbilion ringgit telah dibelanjakan. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com

Kenyataan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin mengenai hasrat untuk melaksanakan reformasi tata kelola dalam Kementerian Pertahanan (MINDEF) wajar diberi perhatian serius oleh rakyat. 

 

Tegasnya, MINDEF akan melaksanakan rombakan pelan anti rasuah secara besar-besaran bagi membanteras rasuah dan segala kecurangan kuasa dalam sistem pertahanan nasional tahun ini.

 

Segala proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki selari dengan amalan terbaik.

 

Perkara itu menjadi antara empat teras pelarasan MINDEF pada 2026 yang dibentangkan pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 12 Januari.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Pertahanan lancar reformasi besar-besaran pastikan ATM bebas rasuah

 

 

image is not available
Mohamad Khaled (tengah) melafazkan ikrar bersama kepimpinan MINDEF dan ATM semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia.
 

 

Bagaimana pun, sejarah panjang pelan integriti dan rombakan pentadbiran dalam perkhidmatan awam, termasuk MINDEF menunjukkan bahawa pengumuman semata-mata tidak menjamin perubahan yang sebenar.

 

Selagi budaya kronisme, perlindungan dalaman dan ketirisan kuasa terus berakar, maka usaha reformasi akan kekal sebagai retorik tanpa impak yang dirasai rakyat.

 

MINDEF tidak sunyi daripada pelaksanaan audit, kursus integriti serta pelbagai inisiatif pematuhan tadbir urus. 

 

Namun persoalan utama yang sering dibangkitkan adalah mengapa dapatan audit jarang diterjemahkan kepada tindakan tegas.

 

 

image is not available

 

Laporan audit sepatutnya menjadi penanda aras utama untuk mengekang rasuah dan salah guna kuasa. 

 

Malangnya, dalam banyak keadaan, kesalahan yang dikenal pasti seolah-olah berakhir di atas kertas laporan tanpa tindakan disiplin atau pendakwaan yang jelas. 

 

Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa wujud dua set piawaian iaitu satu untuk rakyat biasa.dan satu lagi untuk mereka yang mempunyai kedudukan, pengaruh atau perlindungan politik.

 

Jika kesalahan itu benar, mengapa ia dibiarkan?

 

Sehubungan itu ketelusan menuntut jawapan yang jelas, bukan sekadar kenyataan umum.

 

image is not available
Pesawat A-4 Skyhawk PTM TUDM.

 

image is not available
Pesawat Skyhawk digunakan semasa Perang Vietnam.

 

image is not available
Kini sebahagian pesawat Skyhawk menjadi monumen sejarah.
​​​​​​

 

Rasuah, integriti dan salah guna kuasa bukan isu terpencil, tetapi sistemik yang mempunyai akar panjang.

 

Walaupun terdapat kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan serta anggota yang dibawa ke muka pengadilan, kes-kes ini sering dilabel sebagai ‘kes terpencil’.

 

Hakikatnya, rasuah dalam perolehan pertahanan jarang berlaku secara bersendirian, lazimnya melibatkan rangkaian keputusan, kelulusan dan kompromi pada pelbagai peringkat.

 

Rasuah bukan sekadar jenayah kewangan. Dalam konteks pertahanan negara, ia membawa implikasi jauh lebih besar terhadap keselamatan negara terancam, nyawa anggota terdedah dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terjejas.

 

Mereka yang mengamalkan rasuah mungkin menikmati keuntungan peribadi, tetapi kesannya ditanggung oleh seluruh negara untuk tempoh yang panjang.

 

image is not available
Salah sebuah kapal NGPV TLDM.

 

Empat skandal besar perolehan pertahanan yang berlaku sepanjang dekad lalu malangnya tidak cukup untuk menjadi pengajaran.

 

Pertama, kontroversi pembelian 88 pesawat terpakai A-4 Skyhawk melalui Program Istimewa Angkatan Tentera (Perista) pada tahun 1981.

 

Hanya 40 pesawat era Perang Vietnam dibawa pulang ke tanah air manakala bakinya dicadangkan sebagai alat ganti.

 

Penggunaan pesawat ini sepanjang 10 tahun menyaksikan pelbagai nahas sehingga mengorbankan juruterbang TUDM, lalu dilabel sebagai ‘keranda terbang’. 

 

Tragedi ini memaksa TUDM mengambil pendirian tegas untuk tidak lagi membeli pesawat terpakai.

 

image is not available
Skandal pembelian kapal selam Scorpene turut menjadi perdebatan politik oleh pihak pembangkang ketika itu.

 

image is not available

 

Kedua, pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa dilakukan ketika sistem tersebut masih belum benar-benar teruji, sekali gus mencetuskan persoalan tentang proses penilaian dan keputusan strategik.

 

Malaysia membeli dua kapal selam kelas Scorpene dari firma Perancis DCNS (kini Naval Group) untuk RM3.4 bilion pada tahun 2002.

 

Syarikat Perimekar milik Razak Baginda yang juga rakan rapat bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mendapat komisen besar. 

 

Ini menimbulkan dakwaan rasuah dan konflik kepentingan, melibatkan peguam Jean-Luc Lagarde yang menuduh Razak Baginda menerima suapan.

 

Skandal ini kekal sebagai salah satu kontroversi pertahanan terbesar Malaysia melibatkan isu rasuah, komisen dan keraguan terhadap keupayaan kapal selam yang dibeli, walaupun terdapat penafian daripada pihak berkaitan pada masa itu.

 

 

image is not available
Projek kapal LCS terus menjadi perhatian rakyat setelah berdepan kelewatan.

 

image is not available

 

Ketiga, projek Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) TLDM yang bermula pada 1998. 

 

Daripada cadangan asal 27 buah kapal, hanya enam berjaya dibina dan itu pun lewat hampir lapan tahun daripada jadual asal.

 

Keempat, skandal kapal tempur pesisir (LCS) TLDM yang memuncak sebagai debat nasional pada 2022. 

 

Kerajaan mengambil alih Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui syarikat tujuan khas Kementerian Kewangan.

 

Kos meningkat daripada RM9 bilion kepada RM11.22 bilion, jumlah kapal dikurangkan dan sehingga kini projek masih bergelut untuk menyiapkan kapal pertama, KD Maharaja Lela.

 

image is not available

 

Kesemua skandal ini berkongsi satu benang merah iaitu kelemahan integriti, kegagalan tadbir urus dan ketiadaan akauntabiliti yang tegas.

 

Persoalan paling penting ialah apakah yang telah kita pelajari daripada kegagalan ini?

 

Reformasi tata kelola tidak boleh bersifat kosmetik. Ia memerlukan keberanian politik untuk mendedahkan dapatan audit kepada pengetahuan awam.

 

Tindakan sangat tegas mesti diambil tanpa mengira pangkat atau hubungan, dan lebih penting adalah memutuskan pengaruh kroni dalam proses perolehan.

 

Tanpa pembersihan menyeluruh terhadap sistem, pengaruh kroni hanya akan terus membiak dan reformasi akan tinggal sebagai slogan pentadbiran.

 

Kesimpulannya, rakyat menuntut lebih daripada sekadar janji. Ketelusan, akauntabiliti dan tindakan tegas adalah asas kepada keyakinan awam. 

 

Reformasi sebenar bermula apabila tiada lagi pihak yang kebal daripada undang-undang. - DagangNews.com

Terkini featured standard