SPRM panggil Panglima ATM bantu siasatan rasuah perolehan

LocalPolitics
11 Jan 2026 • 5:32 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah terbaru yang membabitkan perolehan pertahanan negara.

Pegawai kanan berusia lingkungan 60-an itu dilihat hadir sekitar jam 11 pagi, sekali gus mengesahkan siasatan SPRM kini semakin melebar kepada kepimpinan tertinggi ATM. Difahamkan, sehingga petang ini, tiada tangkapan dibuat oleh pasukan penyiasat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut.

“Hari ini, kita panggil beliau untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan bermula jam 11 pagi tadi.
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan tetapi rakaman percakapan masih berjalan,” katanya memetik laporan BH.

SPRM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Pendedahan terbaru ini hadir selepas laporan sebelum ini mendedahkan seorang lagi pegawai kanan ATM turut berada dalam radar SPRM kerana dipercayai terlibat dalam skandal penyelewengan perolehan. Malah, siasatan awal terhadap Tentera Darat Malaysia (TDM) mendapati wujud aktiviti penerimaan suapan secara sistematik dalam kalangan pegawai tentera.

Sumber SPRM memaklumkan, fokus siasatan kini adalah meneliti rangkaian rasuah yang dipercayai melibatkan lebih daripada seorang pegawai kanan, dengan kemungkinan beberapa individu lain turut memainkan peranan dalam skim berkenaan.

Kes ini turut dikaitkan dengan siasatan terhadap seorang bekas Panglima yang direman tujuh hari bermula Khamis lalu, bersama dua isterinya yang turut ditahan dan direman antara tiga hingga enam hari. SPRM sebelum ini juga menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan TDM serta ahli keluarganya, bagi membantu siasatan projek perolehan.

Azam sebelum ini mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, dengan tumpuan kepada projek perolehan melalui tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Langkah agresif SPRM ini menandakan kesungguhan pihak berkuasa membongkar dakwaan rasuah berskala besar dalam pasukan pertahanan, sekali gus memberi mesej jelas bahawa tiada pihak terkecuali daripada tindakan undang-undang. - 11 Januari, 2026

The post SPRM panggil Panglima ATM bantu siasatan rasuah perolehan appeared first on Scoop.