amree20/05/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Mei – Hasil TSH Resources Berhad semakin tertekan apabila isu banjir berpanjangan di Sumatera dan risiko kawal selia di Indonesia mula menjejaskan prospek syarikat perladangan itu.
Dua firma penyelidikan tempatan mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap prospek saham kumpulan tersebut selepas keputusan suku pertama FY26 didapati gagal memenuhi jangkaan pasaran.
RHB Research menurunkan penarafan daripada 'beli' kepada 'neutral' dan harga sasaran (TP) RM1.30 berbanding RM1.45, manakala MBSB Research masih mengekalkan saranan 'neutral' dengan TP RM1.28.
"Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) kekal tinggi dan mampu menyokong pendapatan, risiko pengeluaran yang semakin lemah dijangka mengehadkan potensi kenaikan saham syarikat," kata mereka.
TSH Resources mencatat keuntungan teras suku pertama FY26 sekitar RM19 juta, merosot 63% akibat pengeluaran tandan buah segar (FFB) lebih rendah dan sumbangan lemah usaha sama (JV) penapisan.
Sementara itu menurut RHB Research, prestasi lemah tersebut berpunca daripada pengeluaran FFB yang jauh di bawah jangkaan susulan banjir teruk di Sumatera sejak akhir 2025 hingga suku pertama 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, gangguan infrastruktur ladang dan operasi penuaian akibat cuaca buruk menyebabkan pengeluaran FFB di Indonesia dan Malaysia masing-masing merosot 15% dan 5.3%.
“Prestasi pengeluaran yang lemah ini turut berlanjutan sehingga April 2026 dan kami menjangka tuaian dilaksanakan TSH Resources bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini susut 11.6%,” ujarnya.
RHB Research turut menurunkan unjuran pertumbuhan FFB sepanjang FY26 hingga FY28 selepas melihat perkembangan usaha pemulihan operasi yang dilakukan syarikat lebih perlahan daripada jangkaan.
Selain itu, firma tersebut menambah, harga purata jualan minyak sawit mentah (MSM) bagi 1QFY26 susut 15.9% kepada RM3,527 satu tan dan harga isirung sawit (PK) turun 7% kepada RM2,980 satu tan.

Bagaimanapun, ia menjangkakan TSH Resources kembali pulih apabila harga MSM meningkat pada suku kedua FY26, disokong kekangan bekalan bermusim serta harga minyak mentah dunia yang lebih tinggi.
“Kumpulan perladangan ini tidak melaksanakan kontrak jualan hadapan, menjadikannya antara syarikat yang terdedah begitu tinggi kepada persekitaran perubahan harga MSM semasa,” kata RHB Research.
Namun begitu, firma penyelidikan tersebut memberi amaran mengenai risiko kawal selia di Indonesia yang semakin meningkat memandangkan 91.4% bank tanah syarikat itu berada di negara berkenaan.
Dalam pada itu, MBSB Research berkata prestasi suku pertama TSH lebih lemah daripada jangkaan berikutan faktor jualan MSM yang lebih perlahan serta harga jualan purata (ASP) lebih rendah.
Menurutnya, pendapatan TSH Resources susut 25.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM205.2 juta manakala keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan jatuh 64% kepada RM19.3 juta.
“Pengeluaran FFB yang sederhana turut meningkatkan kos pengeluaran seunit dan menekan margin operasi kumpulan perladangan ini sepanjang suku pertama tahun kewangan 2026,” tambahnya lagi.
MBSB Research berkata, prestasi lemah itu juga berpunca daripada tekanan biologi pokok selepas kitaran pengeluaran tinggi pada FY24 hingga FY25 selain aktiviti penanaman semula masih berjalan.
Bagaimanapun, penurunan prestasi itu sedikit diimbangi pengurangan levi eksport dan duti MSM di Indonesia sebanyak RM13 juta serta peningkatan kadar perahan minyak (OER) operasi negara tersebut.
Di samping itu jelas firma penyelidikan berkenaan, purata OER kilang TSH Resources di Indonesia didapati meningkat kepada 22.69% berbanding hanya 20.74% pada tempoh yang sama pada tahun lalu.
"Dalam masa sama, JV penapisan bersama Wilmar International mencatat kerugian RM5.7 juta pada suku tersebut akibat kos bahan mentah tinggi berikutan harga MSM kekal sepanjang 1QFY26," katanya.
Susulan itu, MBSB Research menurunkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 21% dan 6.4% bagi mengambil kira harga MSM baharu serta prospek pengeluaran yang lebih lemah.
Firma itu turut mengambil pendekatan lebih konservatif dengan menurunkan andaian OER kepada 20% susulan keadaan pokok yang memasuki fasa rehat biologi dan cuaca kering di ladang. - DagangNews.com






