amree13/05/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Mei – Pekat Group Berhad terus menarik perhatian penganalisis susulan kejayaan meraih kontrak tenaga solar secara jangka panjang daripada Dutch Lady Milk Industries Berhad.
Dua firma penyelidikan melihat perolehan tender itu akan menjamin aliran pendapatan berulang, di tengah-tengah ledakan permintaan pusat data (DC) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di pasaran Malaysia.
Mereka turut mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan penyedia rumusan tenaga lestari tiu dengan kedua-duanya mengekalkan saranan 'beli', walaupun menggunakan pendekatan penilaian berbeza.
Antaranya, MBSB Research yang masih mengekalkan harga sasaran (TP) Pekat pada RM2.00 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sebanyak 27 kali untuk unjuran FY26.
"Prospeknya kukuh dipacu pertumbuhan mampan semua segmen perniagaan termasuk solar berskala besar (LSS), solar bumbung, kerja pembumian dan perlindungan kilat (ELP), serta peralatan," katanya.
Kontrak perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun bersama Dutch Lady melibatkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung yang berkapasiti 3.96MWp di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Tambah MBSB Research, berdasarkan unjuran hasil RM23 juta sepanjang tempoh PPA tersebut, projek terbaharu itu dijangka menjana pendapatan berulang Pekat sekitar RM1.5 juta setahun bermula FY27.
Walaupun impak pendapatan tidak terlalu material jelasnya, kontrak ini dilihat sebagai positif kerana mengukuhkan pendedahan syarikat itu kepada aset pendapatan berulang dalam jangka panjang.
"Di samping itu, kekuatan utama kumpulan berkenaan pada ketika ini masih dinilai tertumpu kepada buku tempahan yang kukuh dianggarkan mencecah RM700 juta," kata firma penyelidikan tersebut.
Menurut MBSB Research lagi, sebahagian besar tempahan Pekat disumbangkan oleh EPE Switchgear (M) Sdn Bhd menerusi penghantaran peralatan pengagihan tenaga selain projek kejuruteraan solar.
Artikel berkaitan: Pekat peroleh kontrak RM23 juta daripada Dutch Lady pasang sistem solar di Bandar Enstek

Sehubungan itu ujarnya, prospek penambahan kontrak baharu syarikat berkenaan dijangka turut kekal sihat pada tahun ini menerusi pelbagai program LSS5+, LSS6 serta pembangunan pesat DC di Malaysia.
Sementara itu, Phillip Capital menaikkan TP kumpulan itu kepada RM2.15 sesaham daripada RM1.93 sebelum ini selepas melanjutkan horizon penilaian syarikat, sambil mengekalkan saranan 'beli'.
"Pekat dijangka membelanjakan RM7 juta bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek Dutch Lady itu dengan pulangan dalaman ekuiti dianggarkan sekitar 15%," katanya.
Jelas firma penyelidikan tersebut, projek itu dijangka menyumbang keuntungan bersih tahunan RM0.6 juta bermula 2027, dan ketika ini ia sudah memiliki kapasiti aset solar gabungan sekitar 60MWac.
Justeru ujar Phillip Capital, kontrak terbaharu ini akan mengukuhkan lagi asas pendapatan secara berulang, dengan aset solar dijangka menyumbang kira-kira 14% daripada unjuran pendapatan FY27.
Selain itu ia menambah, Pekat juga terus memburu peluang aset solar baharu khususnya dalam segmen komersial dan industri (C&I) serta menerusi rangka kerja melalui Skim Bekalan RE Korporat (CRESS).
"Kami melihat penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) semakin meningkat sebagai faktor tambahan mampu memperbaiki margin keuntungan divisyen solar syarikat pada masa depan," katanya.
Bagaimanapun jelas Phillip Capital, antara risiko utamanya termasuk kelewatan pelaksanaan projek, persaingan sengit industri dan turun naik harga panel solar global. - DagangNews.com





