
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan tidak seharusnya diboikot atau disandarkan kepada emosi dan sentimen terhadap isu tertentu termasuk berkaitan Rohingya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak bersetuju dengan pihak yang merancang memboikot sambutan itu hanya kerana tidak berpuas hati terhadap isu berkenaan.
“Meraikan sambutan kemerdekaan dan Hari Kebangsaan adalah perkara yang tidak seharusnya disandarkan pada emosi dan sentimen.
“Malaysia ini tanah tempat tumpah darah kita. Malaysia ini rumah kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Menurut Mohamed Khaled, sebagai tuan rumah, rakyat tidak seharusnya berhenti menjaga dan menghiasi rumah sendiri hanya kerana tidak bersetuju dengan kehadiran pihak yang tidak diundang.
“Janganlah lepaskan peluang menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada tanah air hanya kerana kita tidak berpuas hati dengan sesetengah isu yang melanda negara.
“Sebaliknya, jadikan ruang dan peluang ini untuk menebalkan rasa kecintaan kepada negara,” katanya.
Menurut beliau, semangat patriotisme yang membara dapat memberikan petunjuk kepada semua pihak di dalam dan luar negara bahawa rakyat Malaysia tidak akan membiarkan tanah air menjadi medan politik serta polemik mana-mana pihak.
“Rakyat diingatkan supaya tidak terlalu taasub terhadap dunia luar sehingga merendahkan dan meninggalkan identiti nasional,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, terdapat pihak yang menganggap amalan dari luar sebagai lambang kemodenan dan kemajuan sehingga sanggup mengetepikan kekuatan budaya serta tradisi tempatan.
“Warisan kita, bahasa kita serta segala amalan hidup tempatan sering dilihat sebagai perkara lama, lapuk, memalukan dan tidak seiring dengan dunia maju.
“Hakikatnya, pemikiran yang sentiasa mengagung-agungkan budaya luar sebegini sebenarnya kolot dan tidak matang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pengguna media sosial menyeru rakyat supaya memboikot sambutan Hari Kebangsaan susulan rasa tidak puas hati mereka terhadap isu Rohingya di negara ini. – UTUSAN
The post Isu Rohingya bukan alasan boikot Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.






