KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tidak akan bertindak melangkaui lunas undang-undang atau sekadar mengikut persepsi dalam menangani isu kehadiran warga Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, meskipun kerajaan negeri mengambil serius kebimbangan masyarakat setempat, isu melibatkan warga asing perlu ditangani secara tertib dan berfakta.
Menurutnya, perkara berkaitan kemasukan, dokumen perjalanan, permit kerja, status individu serta tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) sebenarnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
"Dalam ruang lingkup kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tindakan tertumpu kepada aspek pematuhan setempat seperti pelesenan perniagaan, syarat premis, kebersihan persekitaran, kacau ganggu awam serta penggunaan atau pembinaan premis yang tidak mematuhi peraturan.
"PBT tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status imigresen atau mengambil tindakan semata-mata berdasarkan kewarganegaraan seseorang," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Wan Sukairi menjelaskan, pendekatan terbaik yang diambil ketika ini adalah memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara agensi.
Jelas beliau, PBT akan terus menyokong Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui perkongsian maklumat serta operasi bersepadu.
Mengulas lanjut, beliau mengakui operasi penguatkuasaan di lapangan mempunyai cabaran tersendiri termasuk isu pengesahan dokumen, komunikasi, keselamatan anggota serta had bidang kuasa.
"Namun, perkara ini bukan alasan untuk berdiam diri. Sebaliknya, ia menuntut tindakan yang lebih tersusun, berhati-hati dan berkesan supaya sebarang tindakan yang diambil tidak tersasar daripada peruntukan undang-undang," katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran tindakan sewajarnya akan tetap diambil oleh agensi berkaitan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan premis, perniagaan, penempatan atau aktiviti yang menyalahi peraturan.
Pada masa yang sama, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat terus kepada pihak berkuasa dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
"Kerajaan Negeri Terengganu kekal tegas dalam soal keselamatan dan ketenteraman awam, namun tindakan yang diambil perlu dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.






