KUALA TERENGGANU – Pemilik sebuah rumah di Kampung Ladang Titian di sini, mendakwa langsung tidak menyangka kediaman yang disewakannya kepada seorang warga tempatan akhirnya dijadikan 'sekolah' buat kanak-kanak etnik Rohingya.
Perkara itu hanya disedari pemilik berkenaan selepas premis terbabit tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Ladang Titian, Mohd Qayyum Rosli berkata, pada asalnya, pemilik rumah tersebut menyewakan bangunan berkenaan kepada seorang penyewa Melayu.
"Saya difahamkan pemilik asal tidak tahu bangunan itu dijadikan pusat pembelajaran etnik Rohingya kerana dia menyewakannya kepada seorang penyewa Melayu.
"Selepas mengetahui perkara sebenar, pemilik akan menamatkan penyewaan berkenaan dan menutup premis yang dijadikan sekolah itu. Setakat ini juga tiada lagi aktiviti pembelajaran dijalankan di situ," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Mohd Qayyum yang juga Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Ladang menjelaskan, pihak SRS akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan kampung susulan pertambahan kehadiran etnik berkenaan sejak kebelakangan ini.
Ujarnya, langkah proaktif itu penting demi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan penduduk setempat terjaga.
"Kami bimbang dengan isu kesihatan termasuk risiko penularan penyakit berjangkit seperti malaria selain faktor keselamatan kerana jumlah mereka dilihat semakin bertambah.
"Penduduk juga mahu hidup dalam suasana yang aman dan selesa, jadi pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keadaan terkawal," katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan mendapati kehadiran etnik terbabit turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan jiran tetangga.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Izah mendakwa, sebuah rumah yang terletak berhadapan kediamannya juga kini disewakan kepada beberapa warga Rohingya.
Jelasnya, situasi sedemikian mengundang rasa kurang selesa memandangkan bilangan mereka yang mendiami kawasan tersebut semakin meningkat.
"Kalau berlaku sebarang masalah atau kita menegur mereka, kadang-kadang kita pula yang dimarahi oleh pemilik rumah yang menyewakan kediaman kepada mereka.
"Sebab itu ramai penduduk memilih untuk berdiam diri walaupun ada perkara yang tidak disenangi," luahnya.
Terdahulu, pusat pembelajaran untuk kanak-kanak etnik Rohingya yang beroperasi di Kampung Ladang Titian itu dilaporkan telah menghentikan operasinya sejak Rabu lalu selepas isu berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial.




