
LAHAD DATU: Isu timbunan sampah di kawasan Jalan Pantai yang mencemarkan imej daerah serta menyebabkan ketidakselesaan kepada masyarakat akan diatasi dalam masa terdekat.
Naib Pengerusi Majlis Daerah Lahad Datu, Datuk Mizma Appehdullah berkata, konsesi pembersihan pesisir pantai akan memulakan kerja-kerja pembersihan pada pertengahan bulan ini.
Mizma berkata, pihaknya sentiasa mengambil perhatian akan permasalahan dan isu-isu berkaitan daerah ini.
“Kita ambil maklum mengenai perkara ini dan perbincangan telah pun dilakukan bagi mencari penyelesaian bagi isu ini.
“Bagaimanapun, masyarakat yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesuatu perkara boleh menghubungi pihak Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD),” katanya.
Mizma berkata demikian sebagai mengulas isu timbunan sampah yang tular di media sosial beberapa hari ini.
Dalam pada itu, Mizma berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang, masalah sampah di daerah ini memerlukan kerjasama dari semua pihak, termasuk masyarakat.
Katanya, adalah penting bagi setiap anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan daerah ini bebas sampah.
“Langkah terbaik adalah untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menggalakkan amalan kitar semula.
“Masalah sampah di daerah ini dapat diselesaikan jika kita semua bekerjasama tanpa meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berwajib semata-mata,” tambahnya.
Beberapa hari lalu, seorang pengguna media sosial memuat naik gambar timbunan sampah di kawasan Jalan Pantai yang menimbulkan ketidakselesaan selain menjejaskan imej daerah ini.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

