Isu sosial warga asing antara sasaran operasi bersepadu polis KL

19 Nov 2026 • 4:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Isu sosial warga asing antara sasaran operasi bersepadu polis KL

Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi menangani isu sosial dan kesalahan imigresen membabitkan warga asing.

KUALA LUMPUR: Isu sosial membabitkan warga asing, termasuk individu dari Afrika akan menjadi antara fokus polis menerusi operasi bersepadu bersama-sama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata operasi berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kesalahan yang dikenal pasti tanpa mengira kewarganegaraan individu terbabit.

“Operasi polis dijalankan secara berterusan dan tidak tertakluk kepada masa tertentu. Bagi mengatasi isu sosial, kita akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti, termasuk kesalahan imigresen tanpa mengira sama ada melibatkan warga Afrika atau warga asing lain.

“Kita akan melaksanakan beberapa operasi bersepadu bersama-sama agensi lain dan turut menumpukan isu-isu sebegini. Bagaimanapun, perbuatan jenayah tetap menjadi keutamaan kami,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes di Pondok Polis Alam Damai, Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama antara agensi penguat kuasa, termasuk pihak berkuasa tempatan penting bagi memastikan sebarang kesalahan dapat dikenal pasti dan ditangani sebelum ia menjejaskan ketenteraman awam.

Mengulas mengenai kehadiran warga Afrika di ibu negara, Fadil berkata perbezaan budaya dan gaya hidup dalam kalangan mereka perlu diberi perhatian bagi memastikan perkara itu tidak menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata polis mengenal pasti lokasi tertentu yang menjadi tumpuan warga asing berkumpul dan berhibur, justeru masyarakat diminta menyalurkan maklumat, termasuk rakaman video supaya tindakan segera dapat diambil jika wujud kesalahan.

“Kita menggalakkan penyaluran maklumat, video dan rakaman kepada pihak polis supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin sebelum sesuatu perkara yang lebih serius berlaku sehingga menggugat keselamatan awam,” katanya.

Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan sedang menyiasat kesahihan dakwaan wujudnya kegiatan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai “De Norsemen Kclub International (DNKI)” atau “Vikings” yang kini bertapak di Malaysia susulan hantaran di media sosial.

Hantaran itu mendakwa sebahagian anggota kumpulan berkenaan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar, selain mengaitkan mereka dengan beberapa kegiatan mencurigakan, termasuk perhimpunan yang memaparkan logo dan simbol kumpulan terbabit.

Bercakap mengenai majlis pelupusan itu, Fadil memaklumkan sebanyak 34,451 unit barang kes bernilai RM2.34 juta membabitkan 751 kertas siasatan dari 2010 hingga 2026 di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi, Sentul, Putrajaya dan Cheras dilupuskan.

Beliau berkata antara barangan dilupuskan ialah mesin Bitcoin, minuman keras, rokok, komputer riba serta barangan lain berkaitan kes perjudian, hiburan, kontraban serta kes am.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved