
TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dengan kes curi sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang bulan lepas berjaya diberkas dalam Operasi Cegah Jenayah (OCJ) di Jalan Kau Sing Baru pada Isnin.
Dalam penahanan kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Strike Team Balai Polis Daerah Tawau selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata mulanya pasukan bertugas bertindak menahan lelaki berkenaan di hadapan sebuah rumah ketika suspek berada di atas sebuah motosikal Yamaha 135LC berwarna hitam sebelum pemeriksaan dan semakan lanjut dilakukan terhadap kenderaan terbabit.
"Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan oleh pasukan polis kemudian mendapati nombor casis asal Yamaha 135LC yang ditunggang oleh suspek berkenaan tidak sepadan dengan nombor pendaftaran yang dipamerkan pada motosikal itu.
“Sejurus disiasat, semakan nombor casis Yamaha 135LC terbabit menerusi Sistem Mobile Card Acceptence Device (MCAD) turut mengesan motosikal itu berada dalam senarai kenderaan yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya status sebenar motosikal terbabit diketahui polis selepas pemeriksaan mendapati kenderaan itu sudah pernah dilaporkan hilang oleh pengadu yang juga seorang wanita tempatan berumur 22 tahun pada 15 Oktober lalu.
"Pengadu melaporkan bahawa motosikal milik abang iparnya yang diletakkan di kawasan parkir bahagian belakang Eastern Plaza yang juga sebuah pusat beli-belah, disedari hilang kira-kira jam 11.40 malam pada 14 Oktober,” ujarnya.
Rosdi berkata semakan susulan terhadap latar belakang lelaki warga asing terbabit pula kemudiannya mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan kes penyalahgunaan dadah.
Menyentuh tindakan yang diambil terhadap suspek dan motosikal terlibat pula Rosdi berkata lelaki terbabit termasuk barang rampasan sudah dibawa ke Balai Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi dan siasatan polis akan dijalankan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Kita juga berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika meletakkan kenderaan di tempat parkir serta segera membuat laporan polis jika mengalami kes kehilangan supaya tindakan susulan dapat diambil,” tegasnya.






