Isu Stoking Kalimah Allah: Polis Serbu Kilang Di Batu Pahat, Rampas 5 Pasang Stoking

19 Mar 2024 • 2:16 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Susulan kekecohan yang melanda berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah, polis hari ini menyerbu sebuah kilang yang dipercayai mengeluarkan produk itu di Batu Pahat, Johor.

Menerusi pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui lima pasang stoking berkenaan dan difahamkan kelima-lima pasang stoking itu adalah yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Seramai 40 anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Daerah Batu Pahat telah dikerahkan untuk memeriksa kilang terbabit.

“Kami merampas lima pasang stoking yang tertera kalimah Allah padanya. Produk tersebut telah dipulangkan oleh kedai serbaneka di KK Super Mart Bandar Sunway di Selangor.

“Pihak pengurusan kilang memberikan kerjasama penuh semasa pemeriksaan. Kami mendapat tahu bahawa ia telah memperoleh 16 guni stoking, bersamaan dengan 18,800 pasang, dari China sebelum kilang itu membungkus semula dan mengedarkannya ke pasaran.

“Kami memeriksa setiap pasang barang dalam stok dan mendapati mereka tidak tertera kalimah Allah kecuali lima pasang yang kami rampas,” kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah.

Jelasnya, hanya tiga daripada cawangan kedai serbaneka di Selangor didapati menjual stoking terbabit iaitu dua di Bandar Sunway dan satu lagi di Sunway Mentari, buat masa ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: mStar

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.