Isu tanah Kampung Cot: Dakwaan tidak menggambarkan keadaan sebenar

LocalPolitics
21 Jul 2026 • 12:20 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kerajaan Pahang menjelaskan isu tuntutan tanah Orang Asli di Kampung Cot, Maran.

Kerajaan Negeri Pahang menafikan dakwaan berhubung isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran, sambil menegaskan perkara itu tidak berlaku seperti yang digambarkan dalam kenyataan yang tular.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Kampung Cot sebenarnya merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Menurut beliau, berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan berdasarkan tuntutan bertulis yang dikemukakan kepada jabatan itu. Bagaimanapun, tanah tersebut turut dipohon sebuah syarikat dan permohonan itu diluluskan Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 pada 4 November 2015.

Enam penama meneruskan tuntutan

Beliau berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara JAKOA dan penama Orang Asli terbabit bagi menyelesaikan isu pertindihan tuntutan dengan syarikat berkenaan. Hasil perbincangan mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA.

Katanya, dakwaan kawasan berkenaan sebagai tanah adat masih belum dapat disahkan pihak berkuasa berdasarkan rekod dan fakta sedia ada. Rekod juga menunjukkan enam penama terbabit telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran sah.

“Dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada. Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah.

“Untuk makluman, enam orang penama orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Askli Paya Bungor, Kuantan; dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot,” katanya.

Baca juga:
Komited pembangunan masyarakat Orang Asli

Kerajaan Negeri Pahang, jelas beliau, akan terus mengambil pendekatan adil dan bertanggungjawab dengan melibatkan PTG Pahang, JAKOA, Pejabat Daerah dan Tanah Maran serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) bagi mencari penyelesaian terbaik. Kerajaan negeri turut menegaskan kebajikan dan hak masyarakat Orang Asli akan terus dipelihara melalui proses berlandaskan undang-undang.

Dalam masa sama, Syed Ibrahim berkata kerajaan negeri komited memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli termasuk usaha pewartaan kampung serta pemberian hak milik tanah. Sehingga kini, sebanyak 30 kampung Orang Asli telah selesai diwartakan, manakala 75 permohonan pewartaan sedang diproses termasuk 31 permohonan yang lengkap untuk pertimbangan MMK. Beliau turut menyeru semua pihak tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada agensi berkaitan menyelesaikan isu itu secara profesional.

The post Isu tanah Kampung Cot: Dakwaan tidak menggambarkan keadaan sebenar appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved