Isu terima RM9.5 juta: Kerajaan perlu jawab dakwaan Victor Chin

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 11:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Latheefa Koya

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa tampil menjelaskan dakwaan melibatkan seorang ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin.

Peguam Kanan, Latheefa Koya menegaskan, dakwaan itu melibatkan ahli Parlimen yang juga anggota Kabinet, justeru ketelusan mutlak kepada rakyat perlu dijamin.

"Kerajaan mesti tampil sama ada untuk menafikan atau mengesahkan perkara ini.

"Ketelusan mutlak kepada rakyat perlu dijamin dalam isu sepenting ini,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Rabu.

Terdahulu, Victor atau nama sebenarnya, Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi peristiwa seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta sebagai penyelesaikan terhadap isu skandal mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.

Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada ahli Parlimen tersebut kerana skandal berkenaan tidak diselesaikan.

Sementara itu, Latheefa yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) senada dengan pihak lain agar badan itu bertindak segera menyiasat dakwaan Victor.

"SPRM mesti menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan merekodkan kenyataan Victor segera tanpa perlu menunggu seseorang membuat laporan terlebih dahulu," tegas beliau.