‘Saya Bukan Mr R Yang Terima RM9.5 Juta, Tak Kenal Siapa Chin’ - Ramanan

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 4:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan menafikan beliau adalah Ahli Parlimen yang didakwa menerima dana RM9.5 juta daripada ahli perniagaan Victor Chin.

Tegasnya, dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana beliau langsung tidak mengenali individu tersebut.

“Bagaimana saya boleh mengambil wang daripadanya kerana saya tidak pernah bertemu individu ini dan tidak mengenalinya? 

“Ini adalah syaitan korporat yang cuba memanipulasi keadaan,” katanya, beramg.

Ramanan menyatakan demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, persoalan mengenai identiti sebenar Mr R hanya boleh dijawab oleh Chin, memandangkan dia mengenali individu dimaksudkan.

“Hanya Chin yang boleh menjawab siapa Encik R., tetapi saya sedar bahawa sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya dengan perkara ini.

“Nampaknya, berjuta-juta saham telah dipindahkan kepada saya. Saya tidak memegang sebarang saham awam, sifar," katanya.

Dalam kenyataan 40 muka surat semalam, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen dari PKR telah meminta RM10 juta tunai daripadanya pada Oktober 2025

Individu berkenaan katanya, mendakwa boleh menyelesaikan masalah undang-undang Chin menerusi ‘perbincangan’ bersama ‘mafia korporat’. 

Chin mendakwa ,beliau telah membayar RM9.5 juta daripada jumlah ini tetapi menuntut semula bayaran penuh kerana masalahnya tidak berjaya diselesaikan.

"Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda," katanya, memberi amaran. - Getaran, 25 Mac 2026