Isu terima RM9.5 juta: Sivarasa gesa Victor hentikan drama, buat laporan polis

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sivarasa

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah mengesa Victor Chin membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli Parlimen parti itu menerima RM9.5 juta sebagai bayaran untuk menyelesaikan kemelut berkaitan 'mafia korporat'.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, ahli perniagaan itu sepatutnya mengadakan sidang media dan mendedahkan secara terbuka identiti ahli politik berkenaan bagi membolehkan pihak berwajib menjawab dakwaan tersebut.

"Jika Victor tidak membuat laporan polis dan mendedahkan individu serta bukti yang dimilikinya, dokumen 40 muka surat itu bernilai lebih rendah daripada kertas dan hanya layak dikitar semula sebagai tisu tandas.

"Hentikan drama bodoh ini dan biar polis buat kerja mereka dan sesiapa yang dinamakan olehnya (Victor) memberi maklum balas," katanya menerusi hantaran di laman sosial X pada Rabu.

Sebelum ini, Victor atau nama sebenarnya, Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi peristiwa seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta sebagai penyelesaian terhadap isu skandal mafia korporat, namun hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.

Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada ahli Parlimen tersebut kerana skandal berkenaan tidak diselesaikan.

Dalam masa sama, Sivarasa turut mendakwa Victor 'meniru' tindakan ahli perniagaan, Albert Tei yang mendedahkan skandal rasuah besar-besaran di Sabah, membabitkan beberapa ahli politik dan pemimpin negeri pada November 2024.