SHAH ALAM – Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya mengenai isu penternakan babi di negeri itu.
Izham yang juga ADUN Pandan Indah berkata, beliau bersama peguam sedang meneliti kenyataan bekas pemimpin DAP itu bagi menentukan sama ada terdapat unsur fitnah yang melampau sehingga memerlukan tindakan undang-undang.
Menurutnya, kebanyakan dakwaan yang dibuat Ronnie bersifat melulu, tidak berasas dan bermotifkan kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya sedang meneliti dengan peguam untuk melihat sekiranya ada unsur fitnah melampau yang perlu diambil tindakan undang-undang.
“Banyak perkara yang dituduh itu adalah fitnah semata-mata. Antaranya dakwaan bahawa idea menamatkan penternakan babi di Selangor datang daripada saya.
“Sebagai bekas Exco, beliau sepatutnya tahu bahawa sebarang dasar negeri perlu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan diputuskan secara kolektif,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Ahad.
Izham menjelaskan, portfolio pertanian sememangnya merangkumi pengurusan industri penternakan babi dan isu berkenaan telah berlarutan lebih 30 tahun tanpa penyelesaian menyeluruh.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa idea mewujudkan ladang babi moden di Bukit Tagar datang daripadanya.
Katanya, cadangan tersebut dibangkitkan oleh salah seorang pelabur yang mempunyai ladang di kawasan berkenaan dan dibincangkan secara menyeluruh sebelum ini.
“Kami tidak boleh membangunkan ladang babi moden di kawasan yang mempunyai wabak kerana ia hanya akan menimbulkan masalah berterusan,” katanya.
Dalam masa sama, Izham berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima pandangan dan bantahan penduduk berhubung cadangan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menghentikan segala usaha berkaitan isu ladang babi dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya isu tersebut dinoktahkan.
“Kerajaan negeri akur dengan titah baginda dan mengambil keputusan menghentikan segala usaha berkaitan perkara itu,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya beliau mengugut penternak babi dalam mesyuarat tertutup, Izham menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Bila masa saya ugut? Jika benar saya mengugut, laporkan kepada polis.
“Itu bukan budaya saya mahupun Parti Amanah Negara (Amanah). Kami bukan Pas 2.0,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Amanah meminggirkan masyarakat Cina.
“Tidak benar jika dikatakan kami menganaktirikan kaum Cina atau Tionghua. Mereka juga sebahagian daripada ahli parti dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ronnie mendakwa Amanah berisiko kehilangan pengaruh di Selangor pada pilihan raya akan datang susulan kontroversi isu penternakan babi yang dikaitkan dengan Izham.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Salimi Azmi berkata, pihaknya memandang serius dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa isu penternakan babi di Selangor akan menjejaskan prestasi politik parti itu pada masa depan.






