![Isu Tiada Bulan & Bintang Pada Jalur Gemilang: Dr Akmal Saleh Minta MB Terengganu Kemuka Bukti Wujud Kesilapan Teknikal [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Akmal-Saleh-minta-MB-Terengganu-tunjuk-bukti-kesilapan-teknikal-pada-Jalur-Gemilang.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai keadaan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dengan ketiadaan lambang bulan dan bintang di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan insiden berkenaan sebagai kes terpencil dan tidak disengajakan.
Malah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat juga menjelaskan bendera Malaysia itu sememangnya mempunyai lambang bulan dan bintang namun kedua-dua lambang tersebut telah tercabut daripada jahitannya.
Akmal Minta MB Terengganu Kemuka Bukti Berlaku Kesilapan Teknikal Pada Jalur Gemilang
Namun, malam tadi (10 Ogos), Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam satu video di Facebook meminta MB Terengganu itu untuk mengemukakan bukti berlakunya kesilapan teknikal pada Jalur Gemilang.
“Saya nak minta Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu, biasanya kalaulah kata bulan dan bintang yang dijahit tu jatuh, mesti ada kesan jahitan dekat situ.
“Saya minta YAB Menteri Besar untuk minta MBKT untuk tunjukkan ada tak kesan jahitan yang jatuh dekat situ.
“Kalau ada, supaya rakyat dapat tahu mana satu betul, mana satu salah,” katanya.
Akmal Mohon Ambil Tindakan Tegas Kepada Pihak Yang Bertanggungjawab Gantung Bendera
Namun jelas Akmal, sekiranya tiada bukti yang boleh dikemukakan maka Ahmad Samsuri perlu mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terlibat khususnya mereka yang bertanggungjawab menggantung Jalur Gemilang berkenaan.
“Jika tiada, saya minta YAB Menteri Besar Terengganu untuk mengambil tindakan yang sangat tegas kepada siapa yang menggantung bendera ini.
“Kalau dia tahu bendera itu memang dah tiada bulan dan bintang dan bendera tu cacat, kenapa ia digantung?” katanya.
Pendirian Akmal Tidak Berubah, Tegas Bendera Adalah Kedaulatan Negara
Tegas Akmal, pendiriannya terhadap isu sebegitu tidak berubah malah menyifatkan bendera adalah maruah negara.
Malah, Akmal turut mengaitkan isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di Pulau Pinang dengan prinsip yang dipegangnya selama ini.
“Soal kedaulatan bendera ini, jangan kita pernah main-main.
“Bagaimana prinsip saya tetap tegas (seperti) yang berlaku di Pulau Pinang, apabila bendera ini diterbalikkan secara sengaja walaupun hujung bendera itu dijahit tetapi diterbalik secara sengaja, dikibarkan dan diminta rekod secara sengaja.
“Sengaja eh, yang mana hari ini saya sedang menghadapi kes untuk lawan dengan mereka di Pulau Pinang, masih lagi berjalan,” katanya.
Akmal Minta MB Terengganu Ambil Tindakan Tegas Jika Wujud Unsur Sabotaj
Menerusi video itu juga, Akmal sekali lagi meminta Dr Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional agar mengambil tindakan tegas sekiranya wujud unsur sabotaj.
“Pendirian saya tegas juga di Terengganu, kalau ada unsur-unsur yang dikatakan sabotaj maka ambil tindakan pada mereka yang gantung bendera ini. Dah tahu cacat, masih lagi gantung.
“Jika tiada, maka tunjukkan kepada kita bukti bahawa bulan dan bintang itu terjatuh dan kesan jahit itu supaya rakyat dapat tahu.
“Saya minta YAB Menteri Besar Terengganu kena tegas dalam hal ini, buktikan kepada kami apa YAB bagitahu itu adalah perkara yang betul,” katanya.
Sebelum ini, Lizan menjelaskan MBKT telah mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera berkenaan dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.
Jelas Lizan, Jalur Gemilang tersebut mempunyai bulan dan bintang namun bahagian sebelah itu tercabut dek kerana ribut yang kuat.
Baca Artikel Berkaitan:
Insiden Jalur Gemilang Tanpa Bulan & Bintang: “Kes Tak Disengajakan” – MB Terengganu






