Lebih 10,000 orang semarak program Bulan Kebangsaan di Raub

11 Aug 2026 • 7:48 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 10,000 orang semarak program Bulan Kebangsaan di Raub

RAUB – Kehadiran lebih 10,000 orang pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang malam kelmarin membuktikan semangat patriotik dalam kalangan rakyat terutama generasi muda kekal tinggi.

Program yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu berlangsung meriah dengan penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia termasuk kanak-kanak, golongan belia, penjawat awam dan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, sambutan luar biasa terhadap program ber­kenaan membuktikan penganjuran acara seumpama itu di luar Kuantan turut mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata, kehadiran bukan sahaja membabitkan penduduk Raub, malah turut menarik masyarakat dari Bentong, Lipis, Je­rantut dan Temerloh yang mengambil kesempatan menyertai program berkenaan.

“Kita dapat lihat padang ini penuh sehingga ada yang duduk di luar padang. Sekali-sekala kita anjurkan program sebegini di luar daerah Kuantan supaya rakyat di seluruh Pahang turut merasai suasana dan mendapat maklumat mengenai inisiatif kerajaan negeri.

“Di samping itu, program ini juga dapat menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas program berkenaan di Dataran Raub.

Terdahulu program itu diserikan dengan persembahan artis popular tanah air iaitu Azlan & The Typewriter, Siti Nordiana, Wani Kayrie dan Amad Dayyan.

Pada program tersebut orang ramai mengambil bahagian dalam acara berjalan laju (briskwalk) sejauh 2.7 kilometer mengelilingi bandar Raub yang bermula kira-kira pukul 9 malam.

Fadzli berkata, penglibatan keluarga dan golongan muda dalam program berkenaan juga penting bagi menyuntik nilai nasionalisme serta semangat kemerdekaan dalam jiwa generasi baharu.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, program sukan dan rekreasi seperti ini menjadi platform kepada rakyat untuk meluangkan masa bersama keluarga tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi, selain kita dapat menyuntik semangat nasionalisme dan kemerdekaan dalam jiwa anak-anak,” ujarnya.

Bagi Hashimah Amir Amjah, 38, dari Taman Raub Jaya 5 Baru, penganjuran program berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan bersama rakyat.

“Syabas kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang kerana berjaya menganjurkan program seperti ini yang dapat menghimpunkan masyarakat dalam suasana meriah.

Program sebegini secara tidak langsung dapat meningkatkan semangat cintakan negara,” katanya.

Sementara itu, jururawat, Noorfaeizan Abdul Samad, 49, dari Taman Amalina berkata, sambutan berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk meraikan kemerdekaan secara bersama-sama tanpa mengira usia dan latar belakang.

Bagi saya, program seperti ini sangat baik kerana kita dapat me­luangkan masa bersama keluarga dan masyarakat sambil mengibarkan Jalur Gemilang. Suasana seperti ini membuatkan kita lebih menghargai keamanan dan kemerdekaan yang dikecapi,” ujarnya.

Nor Azwani Sukri, 40, dari Taman Dong Jaya pula berkata, pengli­batannya dalam program itu membolehkan dia bersama masyarakat setempat menyemarakkan semangat kebangsaan.

“Apabila melihat ramai orang datang dan sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang, semangat kebangsaan itu lebih terasa. Saya harap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun,” katanya.

Bagi Wan Kamal Wan Ali, 46, dari Taman Dong Jaya, penyertaan dalam acara berkenaan lebih bermakna apabila dapat membawa dua anaknya yang berusia 10 dan enam tahun untuk bersama-sama menyertai aktiviti beriadah.

“Selain beriadah bersama keluarga, mereka juga dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat meraikan Bulan Kebangsaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Lebih 10,000 orang semarak program Bulan Kebangsaan di Raub appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved