Isu tiada wakil di ILC: J Solomon tiada hak bercakap bagi pihak MTUC

LocalPolitics
3 Jun 2025 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isu tiada wakil di ILC: J Solomon tiada hak bercakap bagi pihak MTUC

image is not available

03/06/2025 - 18:20

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Pengerusi Jawatankuasa Bersama Khas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon sebenarnya dari sudut perundangan tiada hak pun untuk boleh bercakap bagi pihak organisasi berkenaan.


Perkara tersebut disahkan oleh bekas Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor yang berkata, MTUC masih lagi belum ada sebarang kepimpinan rasmi setelah Presidennya, Mohd Effendy Abdu Ghani dilucutkan jawatannya.


Sehubungan itu, beliau terkejut apabila Solomon menyelar Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kerana tidak memasukkan MTUC sebagai wakil dalam kalangan delegasi Malaysia di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC).


"Mungkin ada tidak tahu yang Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 memutuskan pembentukan jawatankuasa khas susulan isu pertikaian antara dua kumpulan dalam MTUC," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.


Solomon dalam satu kenyataan hari ini mendakwa kononnya, Kesuma buat pertama kali dalam sejarah gagal memasukkan wakil MTUC pada ILC di Geneva, Switzerland yang bermula semalam sehingga 13 Jun 2025.


Mengulas lanjut, Kamarul berkata, ketiadaan MTUC disebabkan faktor teknikal apabila ia tidak mengemas kini jawatankuasa kepimpinannya yang dipertikaikan disebabkan ada kes dibawa ke mahkamah sejak 2024.

Tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi, namun membenarkan pembentukan satu jawatankuasa untuk mengadakan persidangan khas perwakilan MTUC dalam masa 90 hari.


"Berdasarkan tempoh yang ditetapkan itu, MTUC akan ada presiden baharu selepas selesai proses pemilihan akhir pada Ogos 2025 dan sebelum waktu tersebut, badan ini sebenarnya masih lagi dianggap tergantung," kata beliau.


Kamarul menyifatkan ketiadaan wakil MTUC di ILC ke-113 anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai tiada kena-mengena dengan Kesuma atau Menterinya, Steven Sim cuba sengaja menafikan penglibatan MTUC sendiri.


Sebaliknya tambah beliau, pihak kerajaan tidak dapat mengundang MTUC disebabkan statusnya yang tergantung di mahkamah serta boleh mencetuskan kontroversi secara berterusan jika ada pula wakil dihantar ke forum itu.


Beliau dalam nada tegas berkata, isu tersebut turut tiada kaitan kononnya menteri berkenaan tidak begitu gemar dengan kepimpinan MTUC ketika ini yang sebenarnya lebih bersifat andaian pihak tertentu semata-mata.


"Saya difahamkan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjadi wakil pekerja negara ini pada ILC dan ketiadaan MTUC sendiri bukan isu yang wajar diperbesarkan," kata Kamarul. - DagangNews.com

standard