
Dua tahun lalu, negara dikejutkan dengan insiden tren bertembung yang membawa 213 orang penumpang dengan sebuah tren kosong di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC pada 24 Mei 2021.
Kemalangan itu juga mengakibatkan 47 penumpang cedera parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan.
Susulan itu, seramai lapan mangsa telah memfailkan saman terhadap Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad di Mahkamah Tinggi atas sebab kecuaian dan gagal memastikan keselamatan penumpang sehingga menyebabkan kecederaan.

Prasarana dan Rapid Rail nafi cuai
Memetik sumber FMT, Prasarana dan Rapid Rail menafikan tuduhan kecuaian berhubung kemalangan terbabit sehingga menyebabkan kecederaan.
Dalam pernyataan pembelaan, kedua-dua syarikat itu mengakui kemalangan itu berlaku tetapi dakwaan kecuaian oleh plaintif perlu dibuktikan dengan ‘bukti kukuh’.
Mereka menyatakan kecederaan dialami oleh lapan penumpang terbabit “disebabkan sepenuhnya dan/atau sebagai alternatif, sebahagian oleh kecuaian plaintif pada semua waktu tersebut”.
“Kegagalan untuk berdiri atau duduk di tempat ditetapkan untuk penumpang, gagal memegang tali paut yang disediakan oleh defendan, dengan kecuaian dan/atau sengaja menyebabkan dan/atau membenarkan diri mereka mengalami kecederaan yang mereka dakwa,” kata syarikat berkenaan.
Jadinya, dua syarikat itu telah memohon mahkamah menolak tuntutan itu. Justeru, lapan plaintif akan menyediakan laporan perubatan untuk menyokong dakwaan bahawa kecederaan dialami disebabkan kecuaian Prasarana dan Rapid Rail.
Mereka turut menolak dakwaan kecuaian diri sendiri sehingga menyebabkan kecederaan dengan menyatakan kedua-dua syarikat berkenaan bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

