Isu Tugas Isteri Hanya Melahirkan & Susukan Anak, Mufti Pulau Pinang Beri Penjelasan

Entertainment
25 Apr 2024 • 3:32 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Zaman dah berubah dan keadaan masa kini memperlihatkan pasangan suami isteri sama-sama bekerja tidak seperti suami isteri zaman dulu.

Baru-baru ini, heboh di platform X mengenai satu hantaran yang menyenaraikan pembahagian tugas dan tanggungjawab antara suami isteri.

Dalam senarai itu, golongan isteri hanya perlu melakukan dua tugasan iaitu melahirkan dan menyusukan anak serta patuh kepada pasangan, manakala tugasan lain seperti iaitu mengurus anak, bersihkan rumah, memasak, cuci pinggan dan lain-lain harus dipikul si suami.

Perkongsian senarai itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Ada yang berpandangan pembahagian tugas itu tidak sepatutnya dibuat dan seharusnya perlu merujuk pakar dalam bidang agama.

image is not available

Suami ada hak tentukan kewajiban pasangan

Mengulas isu tersebut, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan bahawa isteri bertanggungjawab untuk mengurus rumah tangga manakala suami mencari nafkah untuk rumah tangga seperti mengikut ajaran Islam.

“Kalau ikutkan ajaran Islam peraturan asal macam ini (suami cari nafkah, isteri urus rumah tangga.”

Katanya, situasi itu bagaimanapun boleh berubah kerana pasangan suami isteri boleh berunding untuk menetapkan tugas tertentu yang perlu dilaksanakan dalam rumah tangga.

“Suami boleh tetapkan tugas tertentu untuk isteri laksanakan. Kehidupan dalam rumah tangga ini sebenarnya bergantung muafakat antara satu sama lain,” katanya.

image is not available

Tambah beliau, pembahagian tugas itu hanya formaliti sahaja iaitu pasangan boleh bertukar tugasan dan saling membantu.

Mengulas mengenai pendapat segelintir wanita yang menganggap tugasan rumah tangga hanyalah tugas suami, beliau mengatakan pasangan perlu ada sikap bertolak ansur.

“Tugas itu memang kewajiban suami tetapi boleh berunding. Jangan rigid sangat, kalau kita dirikan rumah tangga perlu ada bertolak ansur,” katanya.

Mufti pun dah jelaskan. Apa-apa persoalan berkaitan agama, eloklah kita bertanya kepada yang lebih pakar.

Sumber: majoriti

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.