ITMAX terima kontrak perkhidmatan pengurusan trafik, lampu isyarat pintar RM145 juta MBJB

31/07/2025 - 17:46
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 31 Julai - ITMAX System Bhd menerusi Southmax Sdn Bhd menerima kontrak RM145 juta daripada Majlis Badaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan trafik, pembaikan dan penyelenggaraan sistem lampu isyarat lampu pintar secara langganan bulanan.
Kumpulan itu berkata, langganan itu adalah selama 240 bulan bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2045.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah kedua itu daripada MBJB, yang seterusnya memperluas jejak bandar pintar kami di Johor Bahru.
Beliau berkata, kontrak itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat oleh pihak berkuasa tempatan terhadap rumusan infrastruktur dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang ditawarkan dan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai rakan jangka panjang yang dipercayai dalam transformasi bandar pintar.
"Melalui pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar kami, kami bukan sahaja berhasrat untuk meningkatkan kecekapan trafik di seluruh bandar, tetapi juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan menyokong objektif ESG yang lebih luas bagi Johor," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com
standard

