Izat julang tali pinggang Fury atasi petarung Indonesia

26 Jul 2026 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Izat julang tali pinggang Fury atasi petarung Indonesia
CEO Fury Championship, Mohd Wafiy (kiri) dan Ketua Pegawai Pemasaran Fury Championship, Mohamad Faizal Ahmad atau Jaa Suzuran meraikan kejayaan Izat merangkul tali pinggang Fury Muay Thai Lightweight Championship selepas menewaskan Brian Lawitan di Karisma Arena, Seremban.

MOHD Fazzatkie Mohd Zaki atau Izat Zaki membuktikan dirinya masih antara petarung Muay Thai terbaik negara apabila menewaskan pencabar Indonesia, Brian Lawitan untuk muncul juara Fury Muay Thai Lightweight Championship kategori 61 kilogram (kg) pada Fury Championship Vol. II di Karisma Arena, Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu malam.

Izat diumumkan pemenang menerusi keputusan sebulat suara selepas mengharungi lima pusingan menentang Brian dalam aksi Malaysia-Indonesia yang dinantikan sejak tahun lalu.

Kejayaan itu sekali gus meneruskan rekod cemerlangnya dalam Fury Championship selepas turut muncul pemenang pada edisi sulung kejohanan berkenaan tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini. Brian adalah lawan yang sangat baik dan berpengalaman, malah pertarungan ini sudah kami nantikan sejak tahun lalu.

"Walaupun menang, saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki. Kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya meningkatkan lagi prestasi bagi menghadapi cabaran akan datang," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang membanjiri Karisma Arena selain peminat yang mengikuti kejohanan itu menerusi siaran bayar setiap tontonan (PPV).

Dalam pada itu, petinju Arfiqanie Ahmad Anshori atau Putih Pretty Boy turut menceriakan kem negara apabila menewaskan Ilham 'Flanker' Loeisa dari Indonesia bagi merangkul gelaran OPBF Silver Super Lightweight Championship.

Fury Championship Vol. II menampilkan 13 pertarungan membabitkan petarung tempatan dan antarabangsa dalam disiplin Muay Thai serta tinju profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fury Championship, Mohd Wafiy Ilhan Johan berkata sambutan yang diterima membuktikan kejohanan itu terus mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tempur, selain menjadi platform penting buat petarung tempatan menguji kemampuan menentang pencabar luar negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved