Jabatan Insolvensi, FINAS bantu penggiat seni keluar kemelut kewangan

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 4:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jabatan Insolvensi, FINAS bantu penggiat seni keluar kemelut kewangan

KUALA LUMPUR: Penggiat industri kreatif yang berdepan masalah kewangan, kebankrapan dan pertikaian kontrak bakal mendapat akses kepada khidmat nasihat serta saluran bantuan menerusi kerjasama antara Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerjasama itu antara lain bertujuan memastikan penggiat industri yang berdepan masalah kewangan mempunyai peluang untuk bangkit dan kembali berkarya.

Belia berkata, inisiatif tersebut juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Peluang Kedua yang memberi ruang kepada individu yang layak untuk mendapat pelepasan daripada kebankrapan, tertakluk kepada komitmen dan pematuhan mereka.

“Masalah kewangan tidak seharusnya menjadi noktah kepada bakat dan kerjaya penggiat seni. 

“Kita mahu masalah dicegah lebih awal, pertikaian diselesaikan dengan berkesan dan mereka yang jatuh diberi peluang untuk bangkit serta kembali berkarya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Seni, Populariti dan Survival Kewangan – Memperkasa Industri Kreatif melalui Dasar Peluang Kedua’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, pada fasa pertama, pihaknya akan memberi tumpuan kepada penggiat industri kreatif yang memerlukan bantuan dengan segera.

Katanya, khidmat nasihat yang disediakan secara percuma itu kemudiannya akan diperluaskan kepada kira-kira 30,000 tenaga kerja dalam industri kreatif Malaysia.

“Kali ini ada nasihat yang percuma dan inilah yang kita harus fokus. Pertama, kami akan pergi kepada individu yang memerlukan dengan segera dan itu fasa pertama yang FINAS sedang lakukan.

“Kedua adalah menawarkan kepada 30,000 tenaga kerja kita dalam industri kreatif Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, MdI dalam kenyataan berkata, kerjasama dengan FINAS memberi tumpuan kepada penyediaan khidmat nasihat, maklumat dan saluran bantuan berkaitan pengurusan kewangan, kebankrapan serta insolvensi kepada warga industri kreatif.

Menurutnya, kerjasama dengan AIAC pula memberi tumpuan kepada bidang insolvensi dan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR), termasuk perkongsian kepakaran, latihan serta pembangunan kompetensi.

“Pendekatan ADR seperti mediasi boleh menjadi alternatif dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan pembayaran, kontrak, royalti dan urusan komersial secara lebih cepat, fleksibel dan kos efektif,” katanya. – UTUSAN 

The post Jabatan Insolvensi, FINAS bantu penggiat seni keluar kemelut kewangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved