
PUTRAJAYA- Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan perundangan sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan memandang serius sebarang
ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.
“Notis yang mencukupi telah diberikan. Kita telah memberikan notis kepada mereka, seperti yang saya katakan sebanyak 35 notis telah diberikan. Kita telah sampai ke tahap ini dan terpaksa menggantung keseluruhan operasi. Mereka sepatutnya membayar dengan segera.
“Jadi, sudah tentu kita akan merujuk kepada MoF dan agensi yang lain mengenai tindakan seterusnya daripada segi tindakan sivil.
“Ini sudah merupakan sesuatu yang bukan sahaja melanggar obligasi kontrak, tetapi juga melanggar undang-undang kerana mereka mengutip wang bagi pihak kerajaan,” katanya menerusi sidang akhbar berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di sini ini.
Ketika ditanya mengenai tempoh penggantungan servis perkhidmatan syarikat tersebut, Anthony Loke menjelaskan bahawa penggantungan operasi MYEG akan diteruskan sehingga syarikat berkenaan melunaskan keseluruhan tunggakan kepada kerajaan sebelum MOT mempertimbangkan untuk membuka semula perkhidmatan berkenaan.
Katanya, sebelum ini kerajaan sudah memberikan banyak peluang kepada MYEG untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan, termasuk mengeluarkan banyak notis peringatan dan mengadakan beberapa mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.
“Penggantungan itu sehingga mereka membayar keseluruhan tunggakan tersebutlah. Baru kita akan mempertimbangkan sama ada membuka semula (operasi).
“(MYEG) tak patut ada apa-apa alasan. Sepatutnya mereka mengutip bayaran itu, mereka kena bayarlah. Berulang kali kita dah bagi banyak peluang, kita dah keluarkan banyak notis peringatan, mengadakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.
“Dan sebab perkhidmatan ini dah lama seperti yang saya katakan sejak tahun 2000, ramai pengguna dan orang awam menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, penggantungan operasi MyEG tidak akan menjejaskan orang awam yang sudah membuat bayaran pembaharuan lesen mahu pun saman menerusi platform berkenaan.
“Itu tak ada kesan. Sebab mereka dah bayar, lesen terus diperbaharui. Lesen itu telah pun diperbaharui kepada pengguna. Jadi, pengguna tak ada masalah.
“Obligasi mereka ialah mereka kutip bayaran itu, tetapi lesen diperbaharui serta-merta kepada pengguna. Dan sepatutnya pembayaran itu dikreditkan ke akaun kerajaan pada hari berikutnya.
“Tetapi itu tak berlaku daripada segi pembayaran. Tetapi untuk pengguna, lesen itu memang sah. Kita tak akan memangsakan mana-mana pembayar cukai ataupun pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MOT, JPJ akan ambil tindakan perundangan pada MYEG appeared first on Kosmo Online.






