Jabatan Kastam rampas dadah lebih 6kg di Lahad Datu, Tawau

20 Jan 2023 • 1:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Jabatan Kastam Sabah merampas lebih enam kilogram dadah jenis syabu dalam dua kes berasingan di Lahad Datu dan Tawau.

Penolong Pengarah Kastam Sabah Mohd Nasir Deraman dalam sidang media di sini pada Khamis berkata dua suspek ditahan manakala rampasan dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Mohd Nasir berkata, susulan risikan beberapa hari, pada 5 Januari, kira-kira jam 3.30 petang di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, pasukan serbuan menahan kenderaan yang disyaki membawa bahan dipercayai dadah.

“Dalam usaha mengelak ditangkap, suspek melanggar kenderaan Jabatan Kastam mendorong anggota pasukan itu melepaskan tembakan ke arah tayar depan dan belakang untuk mengawal keadaan.

“Suspek berjaya meloloskan diri tetapi berjaya ditangkap selepas kenderaan suspek memasuki jalan mati di simpang Kampung Layung,” katanya.

Menurut Mohd Nasir, pemeriksaan lanjut menemui dadah disyaki syabu seberat 3.083kg dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM111,006.

Pasukan itu turut merampas kenderaan dipandu suspek yang dianggarkan bernilai RM43,000.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan dan warga asing masing-masing berumur 24 dan 23 tahun kemudiannya ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu pada 12 Januari, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Kastam menyerbu dan memeriksa terminal pusat penerimaan dan perkapalan di Tawau.

“Hasil pemeriksaan menemui satu kotak yang disyaki mengandungi syabu seberat 3.08kg dan dengan anggaran nilai RM110,880 mengikut nilai pasaran.

“Kes dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek terbabit dan disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Nasir mendedahkan modus operandi kes ini adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberikan maklumat palsu dalam nota konsainan seperti alamat tidak wujud dan syarikat atau perniagaan tidak aktif.

Justeru, orang ramai digesa membantu Jabatan Kastam membanteras kegiatan penyeludupan melibatkan rokok, arak, mercun, kenderaan dan lain-lain termasuk dadah serta tidak terlibat dalam kegiatan tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil malah mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Jabatan Kastam menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di talian 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat Jabatan Kastam berhampiran. Jabatan itu juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.