
Kota Kinabalu: Polis Sabah menumpaskan sebuah sindiket penyeludupan – dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lalu – dengan rampasan makanan sejuk beku bernilai lebih RM33 juta dari beberapa gudang, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata rampasan itu adalah hasil daripada lima serbuan yang dijalankan di bawah Ops Kontraband, dari 4 Jan hingga 16 Jan, di lokasi berbeza di Kota Kinabalu dan Papar.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah gudang di Jalan Lok Kawi, Kinarut, Papar pada 4 Jan lepas.
“Serbuan jam 8.45 malam itu menyaksikan sejumlah 17,926 kotak dan 212 paket plastik bahagian ayam sejuk beku, 22,763 kotak aneka ikan, dan 2,107 kotak berisi sosej dan nuget berjumlah RM 21.35 juta,” katanya.
Serbuan kedua dilakukan pada hari yang sama (4 Jan) kira-kira jam 9 malam di sebuah kawasan perindustrian di Papar, yang menyaksikan 3,468 kotak dan 794 paket plastik ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM967,284 dirampas, katanya.
Dalam serbuan ketiga, Idris berkata makanan sejuk beku bernilai RM8.29 juta dirampas dari sebuah gudang di Kinarut pada 14 Jan.
Beliau berkata satu lagi rampasan makanan sejuk beku bernilai kira-kira RM2.553 juta dibuat pada hari berikutnya.
Katanya, serbuan kelima dibuat di sebuah gudang di Putatan di mana kira-kira 2,800 kotak kepak ayam sejuk beku dan 760 kotak paha ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM577,320 dirampas pada 16 Jan.
Makanan sejuk beku bernilai RM33.686 juta yang dirampas dalam lima serbuan itu tidak melalui saluran yang sepatutnya bagi mengelak cukai, dan makanan itu tidak mempunyai logo halal, tambahnya.
Susulan operasi itu, Idris berkata 33 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia, berusia 19 hingga 51 tahun, telah direman bagi membantu siasatan.
Berdasarkan siasatan, beliau berkata sembilan sindiket telah dikenal pasti mengimport makanan sejuk beku tanpa kelulusan Jabatan Kastam di Sabah dan mereka (sindiket) telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.
“Kami akan meneruskan siasatan dan serbuan untuk menghentikan kegiatan haram ini daripada terus berlaku,” katanya.
Ops Kontraband itu dijalankan bersama agensi lain termasuk Biro Jenayah Hidupan Liar, Jabatan Kastam Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
