
JABATAN Kerja Raya (JKR) akan memulakan usaha perlindungan terhadap cerun di Likas yang semakin tidak stabil sejak empat tahun lalu.
Jurucakap jabatan berkenaan berkata seorang kontraktor telah dilantik untuk melaksanakan kerja tersebut.
“Beliau telah menerima surat setuju terima awal bulan ini.
“Kontraktor akan diberi taklimat mengenai skop kerja yang melibatkan cerun di luar Jalan Jenjang,” katanya.
Menurutnya jabatan itu bercadang untuk membina tembok penahan dengan saliran potong turut dipasang di cerun berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha mitigasi.
“Struktur itu akan menggunakan cerucuk konkrit (pile on slabs) dan soil nail akan dipasang pada cerun bagi menahan tembok baharu tersebut,” jelasnya.
Tambahnya reka bentuk tembok penahan itu telah disediakan oleh perunding yang dilantik manakala pembiayaan projek tersebut disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurutnya usaha perlindungan itu dijangka bermula pada minggu pertama November.
“Sekiranya tiada halangan tidak dijangka kami berharap pembinaannya dapat disiapkan menjelang awal tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap aduan seorang pemilik rumah di Happy Garden yang melaporkan kejadian tanah runtuh kecil sejak tahun 2021.
Pemilik rumah itu mendakwa ketulan tanah merah yang jatuh ke dalam kawasan rumahnya di luar Jalan Pipit Uban telah merosakkan bahagian bawah pagar belakang serta menyebabkan retakan pada struktur longkang konkrit.
Selain menjejaskan nilai hartanya kejadian tanah runtuh itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya dan ibunya yang sudah lanjut usia.
Individu berkenaan memaklumkan kebimbangan itu kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan 10 hari selepas insiden terbaru yang berlaku semasa hujan lebat melanda Ibu Negeri pada pertengahan September.
Pihak Hotline kemudian menyalurkan maklumat lokasi rumah berkenaan kepada DBKK dan JKR.
Jurucakap DBKK berkata pegawai Jabatan Kejuruteraan telah memeriksa keadaan Jalan Jenjang yang terletak di atas cerun itu sebaik sahaja dihubungi pihak media.
“Mereka berpendapat penyerapan air daripada sumber yang belum dikenal pasti mungkin menjadi punca kepada pergerakan sisi cerun.
“Air itu tidak datang dari permukaan cerun namun ke mana pun puncanya ia menyebabkan hakisan tanah dan menyumbang kepada kejadian mendapan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata kanvas geo-sintetik kemudianya dipasang di bahagian tepi jalan yang paling kritikal di kawasan cerun berkenaan.
“Petugas daripada Bahagian Kerja Tanah DBKK serta Unit Cerun JKR turut hadir ketika kerja pemasangan kanvas dijalankan,” katanya.
Kedua-dua agensi itu kemudiannya mengadakan sesi perbincangan tidak rasmi untuk menilai strategi yang boleh dilaksanakan bagi mengelak lebih banyak bahagian cerun runtuh.
Beliau berkata longkang belakang rumah yang terjejas di Happy Garden termasuk milik pengadu turut ditutup dengan kanvas.
“Tindakan ini diambil bagi mengelak aliran air permukaan terus melemahkan bahagian bawah cerun. Longkang tersebut telah dibersihkan terlebih dahulu sebelum kanvas dipasang,” tambahnya.
Jurucakap itu menambah konsesi kerajaan telah menampal rekahan di permukaan Jalan Jenjang namun langkah sementara itu masih belum dapat menghalang tanah daripada terus menggelongsor ke bawah.
“Demi keselamatan awam pegawai Bahagian Kerja Tanah DBKK akan terus memantau perkembangan di kawasan Happy Garden,” katanya.



