SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti dua kertas siasatan yang dikaitkan dengan Tan Sri Azam Baki, iaitu berkaitan artikel Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad, serta dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah terhadap Albert Tei.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya sudah menerima kedua-dua kertas siasatan berkenaan pada Khamis lalu.
Menurutnya, keputusan berhubung kedua-dua kes itu akan dibuat selepas pihaknya meneliti keseluruhan kandungan kertas siasatan yang dikemukakan.
“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat. Selepas selesai, apa jua keputusan yang wajar akan diambil sama ada tindakan lanjut perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau siasatan tambahan perlu dijalankan,” katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, dua kertas siasatan itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Pada 3 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merekod percakapan Azam mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Kedua-dua kertas siasatan itu dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Februari lalu, PDRM membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, siasatan lain turut dijalankan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Albert pada 13 Mei lalu.






