SHAH ALAM - Kertas siasatan melibatkan Tan Sri Azam Baki berkaitan dua kes iaitu penerbitan artikel oleh Bloomberg yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad serta isu dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah terhadap Albert Tei sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kertas siasatan telah dirujuk pada Khamis lepas.
"Ini bagi mendapatkan tindakan arahan dan nasihat selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
3 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merekod percakapan Azam mengikut peruntukan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Kedua-dua kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Kumar dilaporkan berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes yang berpotensi menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.
Dalam nada tegas, Kumar memaklumkan pihaknya komited dalam memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Sebelum itu, Azam yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh Albert.





