Jabatan Penjara jawab isu ketiadaan Najib selama 8 jam di rumah

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jabatan Penjara jawab isu ketiadaan Najib selama 8 jam di rumah
Jabatan Penjara beri penjelasan isu ketiadaan Najib selama 8 jam di kediamannya pada Jumaat.

PETALING JAYA – Tempoh hampir lapan jam Datuk Seri Najib Razak berada di luar kediamannya pada Jumaat bukan hanya untuk menunaikan solat Jumaat, malah turut membabitkan beberapa urusan lain termasuk pemeriksaan kesihatan, pengajian al-Quran dan sesi kaunseling.

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung pergerakan bekas Perdana Menteri itu yang dilaporkan berada di luar kediamannya selama hampir lapan jam.

Menurut kenyataan itu, pergerakan Najib bermula pada pukul 10.25 pagi dan berakhir pada 6.25 petang.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik.

Selain itu, Najib turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang sebelum mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Penjara Kajang.

Beliau turut menjalani sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang sebagai sebahagian daripada aktiviti yang telah dijadualkan.

Jabatan Penjara memaklumkan, selepas menyelesaikan semua urusan berkenaan, Najib dibawa pulang dari Penjara Kajang pada pukul 5.50 petang sebelum tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 6.25 petang.

Dalam pada itu, Jabatan Penjara menjelaskan bahawa setiap pergerakan Najib dilaksanakan mengikut urusan dan keperluan yang ditetapkan serta tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat tahanan rumah.

Menurut jabatan itu, aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberi perhatian dalam pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.

Jabatan Penjara turut menegaskan komitmennya untuk memastikan semua urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur dan profesional, selain mematuhi segala ketetapan yang sedang berkuat kuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved