PRN Melaka: Isu Najib bukan modal baharu kempen pihak lawan - Akmal

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 10:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Isu Najib bukan modal baharu kempen pihak lawan - Akmal
Akmal ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Merlimau pada Sabtu. Foto Astro AWANI

MERLIMAU - Isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kembali menjadi perhatian menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya dijadikan sandaran utama parti politik untuk meraih kemenangan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, isu berkenaan sudah beberapa kali dibangkitkan dalam pilihan raya negeri sebelum ini, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan pilihan raya terdahulu juga wajar dijadikan rujukan dalam menilai sejauh mana isu berkenaan mempengaruhi sokongan pengundi.

“Jika mereka beranggapan bahawa Najib merupakan faktor utama yang akan membantu mereka memenangi pilihan raya ini, saya hanya ingin mengingatkan bahawa isu ini sudah dibangkitkan sejak PRN Johor, Negeri Sembilan dan kini di Melaka.

“Kita juga sudah mengetahui keputusan pilihan raya sebelum ini. Jadi, kita berharap keputusan yang sama seperti di Johor dan Negeri Sembilan akan berulang di Melaka kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Merlimau pada Sabtu.

Akmal selesai mengundi kira-kira 10 minit selepas tiba di pusat mengundi pada jam 8.40 pagi.

Kenyataan itu dibuat ketika isu berkaitan Najib kembali menjadi perhatian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah perintah tahanan rumah

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: 240 pusat mengundi dibuka serentak jam 8 pagi

Bagaimanapun, Najib turut tertakluk kepada beberapa sekatan, termasuk larangan membuat kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian serta terlibat dalam aktiviti politik sepanjang tempoh berkenaan. - Awani

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved