
KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi pada tahun ini sebagai penanda aras ekonomi dan kesinambungan rancangan pembangunan negara.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (gambar) berkata antara kepentingan Banci Ekonomi adalah untuk menilai pencapaian dasar dan program negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Program Transformasi Malaysia.
“Selain itu, Banci Ekonomi juga akan digunakan bagi pengeluaran statistik ekonomi baharu seperti Revolusi Industri (IR4.0) dan Internet untuk segalanya (IoT).
“Banci Ekonomi juga dapat meningkatkan kapasiti statistik negara serta menjadi penanda aras baharu untuk memperkemaskan struktur ekonomi bagi statistik berkaitan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Jadual Input Output, Indeks dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perangkaan dan Bursa Malaysia Bhd, disini, hari ini.
Menurut Mohd Uzir, Banci Ekonomi itu juga akan digunakan bagi menjana statistik utama di peringkat nasional, negeri dan daerah.
“Ia merangkumi sektor perlombongan dan pengkuarian, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, bekalan elektrik, bekalan air dan pembentungan serta pertanian, meliputi sebanyak 1,248,260 pertubuhan,” katanya.-Bernama

