Jabatan Perikanan Pantau Paras Alga Punca Air Merah di Teluk Bahang

LocalEnvironment
30 Aug 2023 • 11:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara projek ikan sangkar yang diusahakan di Pulau Pinang. gambar Facebook Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang akan terus mengambil sampel secara berkala bagi memantau kepadatan spesis alga, Noctiluca Scintillans di perairan Teluk Bahang, di sini yang mengalami fenomena air pasang merah atau 'air merah' sejak Sabtu lalu.

Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan berkata pemantauan kepadatan alga itu akan dijalankan sehingga ia mencapai paras yang selamat.

"Keputusan awal analisis yang sudah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti 'air merah' yang hadir di perairan Teluk Bahang mendapati alga berkenaan adalah bukan toksin dan ia adalah spesies Noctiluca Scintillans serta tidak berbahaya kepada manusia.

"Kepadatan sel fitoplankton itu sangat tinggi iaitu satu hingga lima juta sel per liter yang mengesahkan berlaku ledakan alga di perairan itu, dan boleh menyebabkan kematian ikan terutamanya ikan dalam sangkar ekoran penurunan oksigen terlarut, dan alga juga sudah meliputi insang dan menyebabkan ikan tidak mendapat oksigen," menurut kenyataan itu.

Katanya berdasarkan rekod, Noctiluca scintillans itu pernah menyebabkan ledakan yang menyebabkan air laut menjadi merah jambu di Kuala Gula, Perak pada tahun 2016 dan menyebabkan ikan dalam sangkar mati.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang memaklumkan pihaknya sudah mencadangkan beberapa langkah mitigasi kepada penternak sangkar ikan di kawasan terlibat seperti menuai segera semua ikan yang bersaiz pasaran jika ada tanda-tanda ikan lemas atau mati.

Menurut kenyataan itu, penternak sangkar ikan juga disaran untuk mengurangkan kepadatan ikan dalam sangkar dengan memindahkan ikan ke sangkar lain dan memantau kandungan oksigen terlarut.

"Mereka juga perlu menambah pengudaraan kepada ikan untuk menyelamatkan ikan ternakan yang masih hidup bagi mengelakkan pertambahan kerugian," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan seorang dari enam penternak ikan di kawasan berkenaan iaitu Hing Moh Yok memberitahu kehadiran 'air merah' pada awal pagi Isnin, dan 'air merah' itu didapati sangat banyak dan mula pecah seterusnya hilang pada pukul 9.30 pagi.

"Kejadian itu telah menyebabkan kematian ikan berterusan di kawasan berkenaan dan penternak mengganggarkan kerugian kasar yang dialami akibat kematian hampir 15 tan metrik ikan di sangkar adalah kira-kira RM500,000," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan penternak berkenaan telah cuba menyelamatkan ternakan melalui cara menuai hasil segera dan meningkatkan paras oksigen melalui semburan air ke dalam sangkar, tetapi tetap gagal untuk menyelamatkan ikan ternakan yang terdiri daripada pelbagai spesis seperti kerapu, nyok-nyok dan siakap yang kebanyakannya sudah mencapai saiz untuk dijual di pasaran.

"Ekoran kejadian 'air merah' itu, satu lawatan tapak sudah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol bersama Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan, Dr Mohd Nor Azman Ayub  untuk melihat sendiri keadaan air merah dan kesan terhadap penternak ikan di kawasan tersebut," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, nelayan kawasan berkenaan dikatakan bimbang dengan fenomena itu yang didakwa berlaku sejak Sabtu kerana ia menyebabkan ikan dan hidupan laut mati, iaitu bermula kira-kira satu kilometer dari kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang. - BERNAMA