Jabatan Veterinar siasat kejadian anjing serang kucing

19 Nov 2026 • 5:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jabatan Veterinar siasat kejadian anjing serang kucing
Tangkap layar video tular yang memaparkan kejadian berkenaan.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sekumpulan anjing dipercayai menyerang seekor kucing di Taman Teluk Molek.

Kejadian tersebut telah mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman insiden itu tersebar di media sosial.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya telah menerima tiga aduan berhubung kejadian berkenaan dan kini dalam proses mengumpulkan maklumat lanjut bagi mengenal pasti lokasi sebenar insiden tersebut.

Menurutnya, maklumat berkenaan penting bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan.

“Kita telah menerima tiga aduan berhubung kes ini.

“Ketika ini, siasatan sedang dijalankan termasuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi tepat kejadian bagi membolehkan penelitian lebih mendalam dilakukan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Insiden itu menjadi perhatian selepas satu rakaman video berdurasi lima saat tular di media sosial memaparkan beberapa ekor anjing menyerang seekor kucing berhampiran pagar sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Turut menjadi perbualan pengguna media sosial ialah dakwaan berlaku pertengkaran mulut antara individu yang merakam kejadian dengan pemilik anjing terbabit.

Malah, terdapat juga dakwaan bahawa kejadian serangan seumpama itu bukan kali pertama berlaku di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih memerlukan pengesahan melalui siasatan pihak berkuasa.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved